11 January 2024

9 TAHUN MENANTI - TAIYUDDIN & ISTERI LUAH RASA SYUKUR BAYI SULUNG, LELAKI SELAMAT DILAHIRKAN



Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada pelakon dan penggiat teater, Taiyuddin Bakar dan isterinya yang merupakan anak ketiga pelakon terkenal Allahyarham Datuk Zulkifli Zain iaitu Norzila Zulkifli, atas kelahiran anak sulung mereka selepas sembilan tahun menanti dengan penuh sabar.
Pasangan sebaya usia 41 tahun yang berkahwin pada Mei 2014 di Kota Madinah ini dikurniakan anak lelaki yang selamat dilahirkan kelmarin.

"Alhamdulillah... isteri saya dah selamat bersalin. Bayi kami lahir awal pagi semalam (kelmarin). Kami dianugerahkan bayi lelaki seberat 2.8 kilogram.

"Proses kelahiran secara normal di Hospital Serdang kira-kira jam 12.40 pagi. Alhamdulillah... Zila okay dan stabil.

"Segala-galanya baik sahaja. Cuma Zila kena jalani sop prosedur bersalin dipantau doktor sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Syukur rezeki kami.

"Zila tak pernah mengandung sebelum ini, apatah lagi keguguran. Berita gembira ini disampaikan kepada saya ketika kandungannya berusia dua bulan sekitar Mei tahun lalu.

"Bukan kata kami tak berharap kerana selalunya kami berdoa sungguh-sungguh minta kepada Allah. Tapi bila tiada rezeki, kami dah reda. Kalau ada kami bersyukur, kalau tiada pun kita terima Alhamdulillah," tuturnya.

Jelas Taiyuddin, Allah tahu yang terbaik dan memberikan mereka rezeki pada masa yang tepat. Dalam pada itu, Taiyuddin berkata, dia sukar menggambarkan perasaan apabila mempunyai anak sendiri.

"Allah SWT tahu segala-galanya. Kadang-kadang kita rasa kita dah sedia tapi sebenarnya kita tak sedia. Memang pasti ini aturan Allah.

"Saya sebenarnya tak pernah rasa rendah diri dengan kawan-kawan yang dah berkahwin dan ada anak. Sebabnya saya suka budak-budak.

"Dalam masa yang sama pun, saya ada jaga dua anak buah usia tiga dan enam tahun. Mereka duduk dengan kami dan kami jaga mereka dari umur setahun setengah dan setahun. Jadi latihan itu (jaga kanak-kanak) dah ada.

"Apapun saya sangat-sangat bersyukur kepada Allah SWT. Dalam masa yang sama, ada rasa gembira, risau dan bimbang adakah saya mampu jadi seorang ayah yang betul-betul baik untuk dia?

"Untuk persiapkan persiapan akhirat dia, benda-benda inilah yang difikirkan sebab kita berada dalam hidup dan persekitaran yang mencabar sekarang.

"Syukur Allah SWT tambah seorang lagi umat Nabi Muhammad SAW. Allah beri rezeki lahirkan atas muka bumi ini melalui rahim isteri saya seorang Da'i," ujarnya yang memberitahu, dia sudah mempunyai nama bayi mereka dan memilih nama salah seorang sahabat Nabi SAW.

"Kelahiran anak ini amat menggembirakan kedua-dua belah keluarga kami. Saya anak sulung daripada empat adik beradik dan adik beradik saya semua dah kahwin dan ada anak.

"Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada orang ramai selain keluarga kami yang mendoakan. Tidak lupa juga terima kasih kepada jururawat dan doktor serta pegawai perubatan yang ada bersama saya di bilik bersalin," katanya.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: