11 January 2024

SHAMSUL GHAU GHAU DEDAH PERNAH DIBAYAR RM50 - "KALAU IKUTKAN JUMLAH ITU TAK 'LEPAS' UNTUK DUIT PETROL & TOL"



Pendakwah dan selebriti Shamsul Ghau Ghau mengakui pendapatan sebagai pendakwah tidak semewah yang diterima ketika dia aktif dalam dunia hiburan sebelum ini.
Kata Shamsul, dia pernah diberikan bayaran sebanyak RM50 selepas diundang untuk memberikan ceramah, selain pernah menjual kerepek pada majlis ilmu yang diundang.

"Kalau fikir soal nak dapat bayaran lumayan, tentulah dalam bidang seni atau nak lagi besar jadi ahli perniagaan. Kalau ikutkan jumlah itu tak 'lepas' untuk duit petrol dan tol. Bayangkan kalau hari itu saya bawa pembantu peribadi berapa bayaran saya nak beri kepadanya?

"Dalam bidang dakwah ini saya terpaksa meletakkan sejumlah bayaran kerana kadang-kadang orang kita ini mereka buat macam tak faham. Mereka ingat saya ini makan pasir ke?

"Duit yang diberikan itu bukan duit mereka pun. Kadang-kadang duit jemaah atau duit pengurusan masjid. Jadi berilah bayaran yang setimpal sebab duit yang diberikan itu bukan untuk buat benda lain sampaikan ketika berdakwah saya terpaksa buat sesuatu seperti berniaga kerepek di majlis ilmu itu.

"Saya terpaksa berterus terang dan minta maaf kerana terpaksa luahkan perkara ini. Ada segelintir orang-orang masjid yang dilantik sebagai wakil pengurusan ini mereka suka kumpul duit yang banyak dalam akaun supaya lima tahun nanti apabila jawatan itu beralih kepada orang lain, mereka nak tunjuk dapat kumpul duit yang banyak.

"Bukankah duit yang ada itu apabila dikeluarkan untuk tujuan kebaikan akan mendapat pahala yang berganda kepada mereka. Duit yang saya terima itu pula akan gunakan untuk perbelanjaan harian anak-anak yang masih belajar dan bersekolah. Jadi pahala itu akan terus mengalir," katanya.

Sebelum ini, Shamsul terpaksa menggunakan semua wang simpanan berjumlah RM300,000 termasuk menjual beberapa aset lain bagi menampung kos sara hidup keluarga sepanjang tempoh 10 tahun mengikuti pengajian al-Quran, sekali gus mendapat pentauliahan untuk memberikan ceramah di negeri Selangor.

Tambahnya lagi, buat masa ini, dia hanya dibenarkan untuk memberikan ceramah motivasi khusus berkaitan ayat suci al-Quran di sekitar negeri Selangor saja.

"Pentauliahan ini lebih kurang sama macam kita ambil lesen. Ada macam-macam jenis lesen yang kita boleh pelajari sebelum mendapat akses itu.

"Jadi sama seperti saya yang mengikuti pengajian khusus dalam bidang al-Quran dan apabila dijemput untuk memberikan ceramah saya akan bercerita mengenai keindahan yang ada dalam kitab suci ini.

"Buat masa ini, saya hanya diberikan pentauliahan di negeri Selangor, tapi kalau orang lain nak jemput mereka kena minta tauliah sementara sebab bila menyentuh hal agama, minta maaf saya katakan ramai nak bercakap mengenai hal ini.

"Kalau silap cakap dan tidak mengikut landasan yang betul, nanti boleh sesat. Pentauliahan ini dilaksanakan supaya seseorang itu bercakap mengikut bidang khusus yang dipelajari seperti saya, sekarang saya hanya ada ilmu berkaitan mukjizat yang terkandung dalam al-Quran," jelasnya.

Ditanya mengenai keajaiban yang diperoleh sepanjang 10 tahun mengikut pengajian al-Quran, Shamsul berkata, selama ini kita sering berkongsi masalah dengan manusia, tapi hakikatnya Allah menunggu setiap luahan atau cerita yang kita lalui dalam kehidupan seharian.

"Allah sebut dalam al-Quran bermaksud hati orang beriman itu apabila dibacakan al-Quran bergetar hatinya. Itulah yang saya nak cari. Selain itu, dulu kalau sedih kita selalu cerita kepada manusia.

"Sebenarnya Allah nak kita luahkan kepadanya, ceritalah dalam bahasa Melayu, Dia akan dengar. Insya-Allah, Dia akan jawab melalui gerak hati kita nanti atau kadang-kadang ada saja laluan atau jawapan untuk setiap masalah itu," ujarnya.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: