21 January 2024
NIKAH MALAM INI - ATIKAH SUHAIME GEMENTAR, HARAP PERKAHWINAN KEKAL
Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime, 33, bakal menamatkan zaman bujang, dimana majlis pernikahannya akan berlangsung secara tertutup di lokasi Cornerstone IPC, di sini, jam 7.30 malam ini.
Mengulas mengenai perasaannya yang bakal menjadi isteri pilihan hatinya, ahli perniagaan iaitu Datuk Lokman Teh, 34, Atikah berkata, dia berasa agak gementar menanti hari bahagia itu.
"Saya berasa agak gementar menanti saat untuk diijabkabulkan malam ini kerana sedar tanggungjawab berat selepas bergelar isteri.
"Majlis pernikahan berkonsep moden (tema sakura) ini bakal dihadiri seramai 260 ahli keluarga terdekat dan teman rapat saja kerana bakal suami tidak biasa dengan kehidupan saya sebagai selebriti.
Klik untuk gambar besar
"Ia akan disiarkan secara langsung menerusi aplikasi TikTok @zaitun.official," kata Atikah atau nama sebenarnya, Nur Atikah Mohd Suhaime.
Dalam pada itu, ditanya pula harapannya pada perkahwinan itu, jelas Atikah, dia berdoa semoga perkahwinannya akan berkekalan hingga ke akhir hayat.
"Sudah pasti saya mengharapkan perkahwinan kami berkekalan," ujarnya yang turut memberitahu, majlis malam berinainya yang berkonsep 'Morocco' telah berlangsung jam 8 malam semalam di sebuah hotel di ibu kota dengan dihadiri seramai 100 ahli keluarganya dari Singapura.
"Alhamdulillah, majlis malam berinai saya berjalan lancar dan meriah dengan kehadiran ahli keluarga dari Singapura," tuturnya.
Sebelum ini, Atikah berkongsi berita gembira mengenai hari bahagianya yang bakal menjelang di Instagram miliknya dengan memuat naik video majlis pertunangannya yang berlangsung pada Disember lalu.
Untuk makluman, Atikah pernah mengikat pertunangan dengan penyanyi senegaranya, Awie Rafael sebelum hubungan itu putus pada 14 Mac 2019 iaitu tiga hari sebelum mereka sepatutnya diijabkabulkan.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment