21 January 2024

SURIA FM PERKENAL TIGA 'KELUARGA BAHARU' - TEMPAT TYZO DIGANTIKAN OLEH CHIWAN



Stesen radio Suria FM baru-baru ini telah tampil memperkenalkan 'keluarga baharu' mereka iaitu pelawak Chiwan, pelakon Datuk Fizz Fairuz dan Kai Hassan, meskipun kontroversi penamatan k0ntrak penyampai radio, Tyzo yang berakhir pada 12 Januari lalu masih belum reda.
Difahamkan, Chiwan akan menggantikan tempat Tyzo bermula 21 Januari ini, sekali gus bergandingan dengan Sharifah Shahirah atau Shiera untuk segmen Suria Petang setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 3 petang.

Jelas Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin, kemasukan penyampai baru di Suria FM adalah salah satu langkah stesen itu seiring dengan keperluan semasa untuk memantapkan dan mengukuhkan lagi tunggak utama barisan penyampai sebelum menjelang 'Radio Survey' bermula 18 Februari ini.

"Datuk Fizz Fairuz bakal ke udara di segmen Morning Morning Suria bersama Ajak dan Suraya pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi manakala Kai Hassan mengambil alih segmen Morning Morning Suria dan Carta Suria Top 40 sepanjang tempoh Suraya bersalin bagi memastikan kelangsungan kualiti kandungan bagi kedua-dua segmen ini.

"Setiap penyampai dipilih melalui proses pemilihan yang teliti, menekankan kemahiran profesional dan pengalaman luas selain mempunyai bakat serta minat yang mendalam dalam bidang penyiaran radio," kata DJ Lin yang ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan penyampai radio baharu dan seleksi program menarik Suria 2024 baru-baru ini.

Sementara itu, Fizz ketika ditanya mengenai pemilihan tersebut, berkata, dia berharap kehadirannya di segmen Morning Morning Suria dapat menyerikan hari pendengar setia stesen radio itu.

"Satu cabang kerja baru dalam hidup saya. Kehidupan saya akan berubah dengan tanggungjawab baharu ini. Saya kini perlu belajar bekerja mengikut waktu pejabat.

"Ketika tawaran ini datang saya tidak keberatan untuk menerimanya. Semoga dapat memberi kelainan kepada pendengar," ujarnya.

Untuk info, Fizz sudah beberapa kali tampil sebagai penyampai jemputan untuk Segmen Morning Morning Suria, sebelum sah memulakan tugas berkenaan.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: