15 January 2024
"SAYA TIDAK MAHU MENGIYAKAN ATAU MENAFIKAN..." - TYZO ENGGAN ULAS DAKWAAN 'DEMAND' GAJI, TUNGGU KENYATAAN RASMI SURIA
Baru-baru ini, timbul dakwaan kontrak bekas penyampai Suria Petang, Tyzo ditamatkan secara mengejut oleh stesen radio Suria FM kerana dikatakan 'demand' gaji yang tinggi selepas memenangi trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35.
Mengulas dakwaan tersebut, Tyzo atau nama sebenar, Tuah Zulqarnain Idris, 47, berkata, dia yang sudah tujuh tahun berkhidmat dengan Suria FM itu akan menunggu kenyataan rasmi dari pihak pengurusan stesen berkenaan terlebih dahulu.
"Saya tidak mahu mengiyakan atau menafikan perkara berkenaan. Saya akan menunggu kenyataan rasmi daripada pihak terbabit (Suria FM) yang difahamkan bakal berlangsung Jumaat ini, sebelum saya membuat kenyataan," katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tawaran dari pihak stesen radio lain pula, Tyzo menjelaskan, buat masa ini belum ada tawaran yang secara rasmi lagi.
"Saya memang mengharapkan ada peluang dan ruang untuk saya kembali bertugas dengan stesen radio dengan segera. Pada masa sama, saya juga sedang merancang hidup yang lebih baik demi masa depan anak," ujarnya.
Terdahulu, berita penamatan kontrak Tyzo secara mengejut dari stesen radio Suria FM mencuri perhatian ramai dan meraih simpati dari ramai pihak termasuk topik perbualan hangat di media sosial.
Ia turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman yang turut mengadakan pertemuan dan memberi sokongan pada penyampai radio terbabit.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment