17 January 2024

TERUSKAN KERJAYA SEBAGAI E-HAILING - DANNY X-FACTOR AMBIL PENDEKATAN BERSEDEKAH, SELAIN MENCARI REZEKI HALAL



Pelakon dan penyanyi, Danny X-Factor, 44, yang mula menceburi kerjaya sebagai pemandu e-hailing ini sejak 2017 itu memberitahu, dia masih meneruskan profesion tersebut.
Selain mencari rezeki halal, Danny atau nama sebenarnya, Mohd Kardanie Anwa, berkata dia juga mengambil pendekatan bersedekah terhadap golongan yang layak iaitu penumpang seperti pelajar sekolah atau golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Kadangkala ada golongan pelajar sekolah yang naik kereta saya mahu ke perpustakaan dan sebagai. Apabila nak bayar, saya suruh dia simpan wang dan beritahu saya niat sedekah dan minta mereka belajar rajin-rajin.

"Begitu juga kalau penumpang dari golongan OKU, saya takkan ambil wang kerana bersimpati dengan keadaan mereka. Yang penting ialah doakan saya murah rezeki. Itu pun sudah cukup," ujarnya.

Kata pelakon dan penyanyi itu lagi, kerana rasa seronok dan kepalanya tidak berserabut dengan pelbagai masalah lain membuatkannya masih kekal bergelar pemandu e-hailing.

"Saya tak rasa 'stress' memandu. Ia ibarat terapi juga pada saya kerana saya boleh kenal lebih ramai orang. Tak dinafikan mulanya buat sekadar suka-suka, kemudian tengok rezeki pendapatan macam Alhamdulillah.

"Ramai juga jumpa kawan-kawan artis yang tiada kerja dan saya cadangkan buatlah e-hailing. Mungkin ada yang malu dan ada sesetengah tiada kereta sendiri.

"Petuanya mudah sahaja. Kalau rajin semua benda boleh jadi. Sekarang, boleh katakan kalau ada tawaran berlakon pun, saya lebih pilih buat e-hailing. Pendapatan bergantung atas diri kita.

"Kena tahu masa yang sesuai," kata pelakon filem 'Seri Dewi Malam' ini yang turut menjelaskan, pendapatan bagaimanapun kadangkala bergantung kepada rezeki juga.

"Bagi saya, apabila bawa kereta keluar, setiap minit adalah duit. Kalau hari ini dapat RM10, setakat itu sahaja rezeki. Kalau esok dapat lebih pun, rezeki kita juga.

"Yang penting saya gembira, ambil orang dan turunkan orang. Tak perlu jumpa kawan-kawan untuk dengar masalah. Yang penting penumpang selamat sampai ke destinasi.

"Apapun saya kena pastikan cukup rehat. Hari-hari duit dalam dompet tak kosong untuk berbelanja. Kadangkala ada sasaran untuk bayar contohnya pelbagai bil dalam bulan tertentu.

"Jadi saya tetapkan beberapa hari untuk bekerja bagi dapatkan jumlah yang dikehendaki," tuturnya.

Tambah Danny, apabila isterinya yang bekerja sebagai pramugari keluar bekerja, dia akan berehat dan mengambil alih tugas menjaga anak sulung mereka beberapa hari di rumah.

Dalam pada itu, selain memandu e-hailing, Danny turut bekerja sebagai penerbit penyelaras dan pengurus produksi di Double Channel Sdn Bhd milik pelakon Syed Aiman.

"Alhamdulillah... kami sudah berjaya menghasilkan filem pertama berjudul Janna Endoro lakonan Trisha Ooi dan Pekin. Ia filem aksi yang angkat wanita sebagai subjek utama.

"Filem yang mendapat Dana Kandungan Digital (DKD) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ini akan ditayangkan pada Februari. Ceritanya berlatar kisah di Kelantan," katanya.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: