Takziah diucapkan kepada keluarga komposer lagu 'Jesnita' nyanyian Exists, Harun Ahmad atas pemergiannya yang meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Skudai, Johor kira-kira jam 5 petang, semalam.
Berita pemergian Harun itu disahkan oleh anak saudaranya yang juga bekas penyampai Radio Era dan Sinar FM, Najman Mohamed.
"Isterinya balik dari kedai dan mendapati arwah terbaring di atas katil dalam keadaan tidak bernyawa. Semalam (kelmarin) pula adalah hari ulang tahun kelahirannya yang ke 55. Dia dah beberapa hari demam dan mungkin ada beberapa peny@kit lain," jelasnya.
Kata Najman, Harun adalah adik kedua terakhir kepada Allahyarham ibunya daripada 13 adik-beradik.
Allahyarham meninggalkan isteri, Masnizah Mohyi, 50; dan tiga anak iaitu Fatin Nurhaziqah, 26; Fatin Nurhidayah, 23; dan Muhamad Farish Hakimi, 20.
Sementara itu, kumpulan Exists menerusi Facebook mereka melahirkan kesedihan terhadap pemergian Harun.
"Telah kembali ke rahmatullah abang Harun Bin Ahmad pencipta lagu 'Langkah Seiringan', 'Janji Padamu' & 'Jesnita' petang tadi (semalam) di Taman Teratai Skudai, Johor Bahru.
"Esok (hari ini) jasadnya akan dikebumikan di kampung halamannya Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor.
"Mari sedekahkan Al Fatihah buat arwah. Semoga rohnya berada dikalangan orang-orang yang beriman," tulis mereka.
Semasa hayatnya, Harun dikenali sebagai komposer yang berbakat besar. Namanya melonjak naik menerusi lagu Jesnita nyanyian kumpulan Exists.
Selain 'Jesnita', Harun turut mencipta dua lagi lagu popular Exists iaitu 'Langkah Seiringan' dan 'Janji Padamu'.
Lagu lain ciptaannya ialah 'Hadirlah Mustika' nyanyian kumpulan Spin, 'Bicara Kasih' (Elly Mazlein), 'Satu Kenangan' (Kristal), 'Lafaz Cinta' (Khai) dan 'Alya Mysara' (Mamat).
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment