"Ketika bertolak ke Ipoh pada pagi Sabtu saya sudah tidak sedap hati, tapi saya berdoa agar Tuhan beri kesempatan untuk saya bertemu arwah sebelum dia 'pergi'.
"Bagaimanapun ketika berada di Ipoh dan ibu masih bernyawa, isteri saya sempat menghubungi melalui panggilan video untuk saya melihat wajahnya. Dapat jugalah saya bercakap dengan mak sekejap dan melihat dia mengalirkan air mata.
"Kemudian ketika solat Asar saya dengar telefon saya berdering dan sudah dapat rasakan ibu sudah tiada," tutur penyanyi Ronnie Hussein dimana hasratnya untuk bersama dan menatap wajah ibunya, Che Nah Jaafar, 65, sebelum menghembuskan nafas terakhir petang kelmarin, tidak kesampaian.
Jelas bekas vokalis Hyper Act itu, ketika dimaklumkan ibunya sudah meninggal dunia, dia pada masa itu berada di Ipoh, Perak bagi memenuhi jemputan persembahan.
Kongsi Ronnie lagi, ibunya sudah menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor sejak Rabu lalu selepas mengadu sesak nafas sehingga terpaksa ditahan wad.
"Doktor maklumkan mak meninggal dunia akibat kegagalan organ tapi ketika mak hubungi saya untuk dibawa ke hospital dikhabarkan dia mengalami sesak nafas.
"Tiba di hospital kami ingatkan dia tak kena tahan wad, tapi pihak hospital maklumkan ada masalah pada jantungnya dan perlu menunggu pakar jantung.
"Kemudian pada hari Khamis keadaannya sudah beransur baik. Saya belikan dia buah anggur dan nasi goreng, sehinggalah pada hari Jumaat malam, kesihatannya tiba-tiba merosot dan meninggal dunia pada jam 4.37 petang Sabtu," katanya.
Walau bagaimanapun, Ronnie meluahkan rasa syukur apabila dapat mengiringi perjalanan terakhir arwah ibunya yang selamat dikebumikan semalam.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment