Pelakon dan ahli perniagaan, Datuk Rosyam Nor, 57, memaklumkan yang dia tetap dengan pendiriannya dimana akan meneruskan tindakan undang-undang kepada pihak yang dikesan mengaitkan namanya dengan kisah rumah tangga pasangan selebriti, Fattah Amin dan Nur Fazura, meskipun ada individu sudah menghubunginya untuk memohon maaf.
Baru-baru ini, nama Rosyam menjadi perhatian netizen apabila dirinya terkait dengan pelbagai kenyataan disifatkan berunsur fitnah dan tidak benar yang dikongsikan pengguna media sosial.
"Esok, saya bersama peguam akan berjumpa dengan pegawai penyiasat untuk meneruskan siasatan dan mengenal pasti setiap akaun media sosial yang menyebarkan fitnah terhadap saya itu (berhubung dakwaan kenyataan berhubung perceraian Fattah dan Fazura).
"Bila berlaku kisah rumah tangga antara Fattah dan Fazura, saya anggap mereka macam adik sendiri. Saya tak pernah keluarkan apa-apa kenyataan pun mengenai mereka. Cuma, apabila ada tangan nakal yang membabitkan saya dalam isu itu, ia adalah fitnah.
"Saya mulanya tak mahu ambil peduli pun, tapi bila semua cakap kenapa saya hendak masuk campur dan merebak hingga jadi teruk, saya fikir perlu ambil tindakan undang-undang juga kerana ia menjatuhkan reputasi saya yang tak pernah keluarkan sebarang kenyataan pun.
Klik untuk gambar besar
"Apapun, saya akan memberi kerjasama penuh dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis untuk menyiasat perkara ini hingga selesai. Saya memang marah dengan fitnah yang disebarkan ini.
"Mereka (pemilik akaun media sosial) perlu ingat yang saya ini ada keluarga, besan, menantu, cucu serta rakan perniagaan yang nama baik mereka perlu dijaga juga. Apatah lagi, semua kenyataan yang dikaitkan kepada saya itu fitnah besar, benda tak betul," katanya yang dipetik menerusi Harian Metro.
Dalam pada itu, jelas rosyam lagi, nama, kredibiliti dan jenama yang dia bekerjasama memang terjejas kerana kadang-kadang memang ada segelintir orang mudah percaya dengan apa saja yang keluar di media sosial.
"Saya berharap dengan tindakan undang-undang dibuat ini akan membuka mata masyarakat yang menggunakan media sosial walaupun bukan semua netizen bersikap begitu (sebar fitnah).
"Hanya segelintir (netizen) saja yang tidak mahu memahami dan suka membuat hantaran berunsur fitnah kepada orang lain macam yang terkena pada saya. Tapi, ada seorang dari Kedah yang dah hubungi saya, mengaku silap. Cuma, saya dah serah pada undang-undang," ujarnya.
Selepas perceraian Fattah dan Fazura pada 7 Oktober lalu, difahamkan tular semula rakaman video 'podcast' Rosyam yang membincangkan topik mengenai seorang isteri akan mula memandang rendah terhadap suami jika mereka memiliki lebih kekayaan.
Bagaimanapun, dalam perbincangan itu, Rosyam tidak menganggap semua wanita berperangai begitu, tetapi mendakwa kebanyakannya bersikap demikian.
Namun, tiba-tiba muncul namanya dikaitkan dengan isu perceraian Fattah dan Fazura walaupun dia langsung tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pasangan selebriti terkenal itu.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment