08 December 2024
AL-FATIHAH - PELAKON 'MAT SALEH' KEMBALI KE RAHMATULLAH
Pada jam 7.20 malam semalam, pelakon yang sering memegang watak lelaki Inggeris dalam filem dan drama tempatan iaitu Johan Abdullah, 75, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah, di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.
Isteri arwah, Sarepah Meriam Aboo, 51 ketika dihubungi memaklumkan, Allahyarham secara tiba-tiba mengalami pernafasan tercungap-cungap dan kemudiannya dibawa ke hospital selepas jirannya menghubungi ambulans.
"Dalam seminggu ini, arwah tidak mahu makan melainkan hanya minum susu saja menyebabkan badannya semakin lemah.
"Kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam), dia masih boleh duduk, namun secara tiba-tiba pada jam 3 petang tadi, nafasnya mula tercungap-cungap.
"Selepas 40 minit dirawat di zon kecemasan, arwah diberi bantuan pernafasan dan doktor memaklumkan terdapat jangkitan kuman dalam darah," katanya.
Jelas Sarepah Meriam, sepatutnya arwah akan menjalani rawatan susulan Rabu depan bagi masalah radang usus, namun ia tidak sempat dilaksanakan.
"Arwah sebenarnya menghidap pelbagai penyakit iaitu penyakit angin ahmar, Parkinson, jantung, keradangan usus dan otak mengecut," katanya.
Bagaimanapun, tutur Sarepah Meriam lagi, dia tidak sangka yang arwah suaminya itu akan pergi secepat itu.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ainsdale, di sini, pada jam 11.30 pagi pada Ahad.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment