09 December 2024

GAGAL MARA KE PERINGKAT AKHIR FAMILI DUO 4 - JOEY DAUD NAFI LUPA LIRIK : "ITU SEBENARNYA SEBAHAGIAN DARIPADA KONSEP PERSEMBAHAN KAMI"



"Sudah tentu ini suatu kejutan buat kami. Saya bertanya kepada diri sendiri dan Naqiu, apakah begitu teruk persembahan kami? Kalau teruk, kami mohon maaf kerana sudah kecewakan ramai pihak. Tetapi, jika tidak teruk, ambillah itu sebagai hiburan yang kekal dalam jiwa.

"Sebagaimana komen juri yang kata saya banyak lupa lirik, itu sebenarnya sebahagian daripada konsep persembahan kami. Bahagian saya, semuanya sudah dilontarkan ketika persembahan. Saya tidak lupa lirik ketika buat persembahan. Pada bahagian mana saya lupa lirik? Saya tidak jawab atau jelaskan sebab nanti jadi kontroversi."

Demikian ujar pelawak, pelakon dan penyanyi Joey Daud dimana dia menafikan berlaku insiden lupa lirik ketika beraksi di pentas konsert separuh akhir musim keempat Famili Duo (FD4) bersama gandingan, Naqiu, malam tadi, seperti komen didakwa dilayangkan juri tetap, Mas Idayu.

Tampak kec£wa gagal mara ke peringkat akhir FD4, Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud yang sebelum ini dirahsiakan sebagai gandingan Naqiu, berkata, dia menghormati pandangan masing-masing dan reda takdir untuk mereka.

Sementara itu, Joey turut berasa kecewa apabila Mas Idayu didakwa melontarkan komen dia belum pernah meraih gelaran juara sepanjang terbabit dalam industri hiburan, padahal pernah bergelar juara program Mega Spontan, tahun lalu.

"Saya perlu lihat kembali persembahan kami supaya tahu di mana silapnya. Di atas pentas, kami tidak tahu bagaimana sudut pandang penonton dan juri. Untuk FD4, saya dan Naqiu gabungkan kelebihan yang kami ada dengan mengikut DNA program iaitu untuk menghiburkan.

Klik untuk gambar besar

"Saya bersetuju sertai FD4 kerana mahu tambah pencapaian saya dengan gelaran juara. Tetapi, mungkin juri juga tidak tahu, sebelum ini saya pernah bergelar juara dalam satu program realiti. Namun, tidak mengapa, setakat ini saja perjalanan kami. Apa yang penting, kami dapat hiburkan peminat. Perasaan kami bercampur baur dan sudah tentu ini suatu kejutan," katanya.

Persembahan berkonsepkan muzikal komedi dengan mengetengahkan jalan cerita warga asing mahu menyertai program nyanyian tempatan yang dibawa Joey dan Naqiu yang juga pasangan sepupu, disifatkan Mas Idayu ada kekurangan untuk bersaing di peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, seorang lagi juri, iaitu Datuk Rosyam Nor mengakui persembahan mereka yang merupakan pasangan sepupu itu cukup menghiburkan.

Selain Joey dan Naqiu, turut berdepan penyingkiran semalam adalah pasangan adik-beradik, Zahid dan Anne dimana mereka gagal melayakkan diri ke peringkat akhir bersaing merebut hadiah utama wang tunai berjumlah RM100,000.

Konsert separuh akhir FD4 menyaksikan hanya tiga pasangan yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir iaitu pasangan sepupu, Ayie Elham dan Salma Asis, Tomok dan Sharul Kamal (sepupu), Shiha Zikir dan Ieda Zikir (adik-beradik).

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: