"Dah tahun 2025, kita kenalah ikut trend. Kalau kita buat juga cara lama mungkin okey juga, tapi bila dah beralih ke zaman baru, lebih baiklah guna yang baharu. Ia lebih meriah dengan penggunaan teknologi dan sistem bunyi canggih. Memang itu diperlukan untuk era sekarang."
Demikian ujar finalis Anugerah Juara Lagu 1994 dan 1996 iaitu Adilla Idris dimana dia menjelaskan, tiada masalah untuk artis tampil dengan pembaharuan pada pentas AJL seperti sekarang kerana semua pihak kini memasuki era baharu dan perlu mengikut arus.
Adilla yang menyanyikan lagu nyanyian Iklim iaitu 'Bukan Aku Tak Cinta' dan lagunya sendiri, 'Janji Seorang Kekasih', berkata, semasa zamannya bertanding dulu, dia hanya membawa dirinya untuk beraksi dan menerima apa yang disediakan oleh TV3.
"Tak ada banyak pun kos kecuali untuk baju saja. Mekap pun TV3 yang taja. Zaman itu juga tiada lagi jurusolek artis. Kalau ada pun mungkin babitkan artis popular seperti Ziana Zain.
"Penari juga memang sudah disediakan oleh produksi TV3. Sekarang berbeza kerana yang masuk adalah nama-nama besar. Mereka ada produksi sendiri dan ada bajet sendiri keluarkan kos untuk bayar segalanya.
"Bagi saya ia terpulang kepada artis dan rasanya sesuai untuk zaman ini," tuturnya yang turut mengulas sikap segelintir pihak yang sering memperlekeh dan mengecam AJL serta mendakwa tidak menonton program terbabit.
"Kita memang mengata tapi kita mesti nak tengok. Jadi macam manapun orang kata, AJL menjerit-jerit, banyak sangat bawa prop dan sebagainya, tapi bila AJL mereka tetap akan tengok. Mereka hanya 'propa' saja kata tak tengok.
"Cuma saya akui kurang ambil tahu perjalanan AJL. Tiba-tiba saja ada AJL. Tak tahu bila buat pencalonan. Dulu syarikat rakaman yang calonkan lagu artis naungannya. Sekarang tak tahu bagaimana caranya," katanya.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment