"Selama 17 tahun saya membesarkan anak sebagai ibu tunggal, ia masih belum berjaya lagi. Ini kerana, impian saya untuk tengok mereka menggenggam ijazah belum terlaksana. Ketiga-tiganya tak habis belajar di UiTM Shah Alam lagi. Dua anak lelaki saya kini melanjutkan pengajian mereka di peringkat ijazah dan anak perempuan pula mengambil diploma.
"Saya cuma berharap dapat tengok mereka berjaya dalam pendidikan masing-masing dan itu doa saya untuk anak-anak," ujar pelakon dan pengacara, Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku, 52, dimana dia menyifatkan dirinya belum menjadi ibu tunggal yang berjaya selagi tiga cahaya matanya itu belum menggenggam ijazah.
Kak Engku atau nama sebenarnya, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, memaklumkan, sekarang tiga anaknya itu masih lagi melanjutkan pengajian peringkat ijazah dan diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Dalam pada itu, akui Kak Engku, bukan mudah membesarkan anak bersendiri, namun dia sangat bersyukur Allah mengurniakan kepadanya anak yang baik, rajin, beradab dan menenangkan hati.
"Selepas berpisah, saya sanggup tidak berkahwin baru demi membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur Allah berikan saya anak-anak yang baik-baik, dengar cakap dan senang dijaga.
Klik untuk gambar besar
"Apapun, saya akan pastikan banyak habis masa dengan anak-anak apabila mereka pulang ke rumah ketika cuti semester. Pada masa itu, kami selalu buat aktiviti bersama seperti pergi bercuti dan sebagainya," tutur bekas pengacara Melodi di TV3 ini.
Selain itu, Kak Engku berharap, anak-anaknya dapat membina kerjaya dan kehidupan terlebih dulu sebelum ingin berkeluarga kerana dia tidak rela mereka berkahwin pada usia muda.
Untuk makluman, Raja Azura pernah berkahwin dengan Adzmin Osman yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah iaitu Tan Sri Osman Aroff pada Mac 2001, sebelum mereka sah bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkongsian hidup itu, Kak Engku dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq, 23, Megat Luqman Hakim, 22, dan Puteri Mia Maizura, 20.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment