Nampaknya impak kumpulan KRU yang terdiri daripada adik-beradik iaitu Yusry Abdul Halim, Edry dan Norman mengadakan konsert sebelum ini dimana ia mendapat sambutan hangat di kalangan peminat itu membuka idea kumpulan lama lain yang turut mahu membuat 'comeback'.
Jika sebelum ini kumpulan wanita, Elite menyatakan akan menurunkan berat badan demi konsert mereka yang akan diadakan, terkini kumpulan hip pop terkenal era 1990-an, 4U2C pula bakal mengubat rindu peminat setia mereka menerusi konsert khas, WE 4U2C Live in Concert yang dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September depan.
Konsert yang membawa tema Bringin' Back Da 90's Flava itu bakal menyaksikan kemunculan tujuh anggota asal 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam, sekali gus memberi peluang kepada peminat mengimbau semula nostalgia zaman kegemilangan mereka.
Berhubung konsert terbabit, AC Mizal atau nama sebenarnya, Mizal Zaini berkata, idea penganjuran konsert ini tercetus hasil cetusan isterinya, Datin Emylia Rosnaida, sebelum pihak penganjur tampil mengemukakan tawaran rasmi.
"Konsert ini sudah lama menjadi impian saya. Idea asalnya datang daripada isteri saya, dan tidak lama kemudian pihak Juss Event menawarkan kami peluang untuk menjayakan konsert ini secara solo.
"Bagi saya, ini umpama impian yang menjadi kenyataan. Saya bersyukur kerana peluang ini hadir tepat pada waktunya. Kami berjanji akan memberikan persembahan terbaik buat semua peminat yang hadir malam itu," ujarnya ketika sidang media konsert WE 4U2C, hari ini.
Dalam pada itu, jelas AC lagi, kejayaan konsert KRU baru-baru ini turut menjadi pemangkin kepada mereka untuk kembali ke pentas.
"Kami berterima kasih kepada KRU kerana kejayaan konsert mereka membuka laluan kepada kumpulan era 90-an seperti kami untuk kembali tampil dengan konsert berskala besar.
"Kami mahu kongsi momen istimewa ini dengan peminat dan keluarga. Ini adalah detik yang amat kami nantikan," kata AC yang turut memberitahu, konsert berkenaan bukan sahaja sekadar persembahan nostalgia, tetapi menjadi langkah awal mereka untuk kembali mewarnai industri muzik tempatan.
"Kami mahu jadi 'trendsetter' dengan mengembalikan semula sejarah. 4U2C adalah kumpulan pertama yang menyanyi sambil menari di pentas tempatan.
"Jadi untuk konsert kali ini, kami akan terus kekalkan identiti itu. Kami mahu buktikan bahawa dalam industri muzik Malaysia, memang ada artis yang benar-benar berkualiti, bukan sekadar menyanyi tetapi mampu menghiburkan," ulasnya lagi.
Bagi memastikan mutu persembahan berada pada tahap tertinggi, komposer dan pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito turut dilantik sebagai pengarah muzik konsert ini dengan dibantu barisan 14 pemuzik profesional yang berpengalaman luas.
Menariknya, menerusi konsert itu juga, 4U2C bakal mempersembahkan tiga single baharu buat julung kalinya, khas buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seni mereka.
Konsert anjuran Juss Event Sdn Bhd itu turut menandakan kemunculan semula kumpulan berkenaan dalam arus perdana muzik tanah air selepas hampir tiga dekad.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment