15 June 2025

BILA SARIMAH IBRAHIM & KELUARGA BERTUAH DAPAT BERTEMU DENGAN DAVID BECKHAM : "IA SATU KENANGAN MANIS YANG AKAN SAYA SIMPAN SELAMANYA"



Bertuah sungguh pengacara dan pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim apabila dia bersama suami tercinta, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar dan anak perempuannya mereka, Tunku Sofia Najihah, berpeluang bertemu dan berbual santai, termasuk berswafoto dengan legenda bola sepak dunia, David Beckham.

Pertemuan yang penuh mesra itu berlaku ketika pasangan ini dijemput sebagai tetamu kehormat ke majlis gala eksklusif sempena pembukaan rasmi The Londoner Grand Macao, sebuah destinasi mewah yang menjadi tumpuan bintang antarabangsa dan tokoh korporat serantau, baru-baru ini.

"Kami berada di sana selama lima malam sebagai tetamu VIP selebriti diraja. Turut hadir dalam majlis gilang-gemilang itu ialah Chef Edward Lee, pemenang Culinary Wars, pelakon popular Thailand, Win Metawin, serta pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Hotel Sands. Kemunculan Beckham menjadikan acara itu benar-benar luar biasa," katanya.

Apa yang menarik, walaupun pertemuan itu secara rasmi berlaku buat pertama kali, Sarimah berkongsi bahawa mereka sebenarnya pernah terserempak sebelum ini ketika menetap di kawasan kejiranan sama di Holland Park, London.

Klik untuk gambar besar

"Dulu kami pernah nampak dia dari jauh saja, tidak pernah bertegur. Jadi, kali ini memang kami dapat berbual panjang dan bertukar cerita," ujar Sarimah yang turut menggambarkan Beckham sebagai seorang yang sangat sopan, merendah diri dan cukup ramah, terutama sekali terhadap anak mereka.

"Dia sangat 'sporting'. Ajak kami berswafoto dan bersembang mengenai anak-anak, sukan, kerjaya dan keluarga. Paling menyentuh hati, dia turut merakamkan satu video kata-kata semangat buat saya yang baru mula melangkah sebagai penerbit filem. Ia satu kenangan manis yang akan saya simpan selamanya," tuturnya dengan nada teruja.

Sementara itu, mengenai perkembangan seninya pula, Sarimah kini mengorak langkah baharu sebagai penerbit menerusi syarikatnya, Sarimah Sdn Bhd, yang baru-baru ini mendapat lesen rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebagai penerbit dan pengedar filem.

"Saya sudah 27 tahun dalam industri seni, tapi baru sekarang berpeluang terbabit di belakang tabir. Fokus saya kini adalah menghasilkan kandungan yang mampu memperkasakan wanita serta menonjolkan karya kreatif golongan wanita," jelasnya.
Dalam pada itu, kata Sarimah, filem lakonannya berjudul 'Susvk' bakal menemui penonton di pawagam hujung tahun ini, diterbitkan dengan kerjasama Primeworks Studios dan Anomali Media.

Disamping itu, Sarimah juga menjelaskan, dia tidak mengetepikan minat utamanya dalam bidang seni, meskipun dalam kesibukan mengurus syarikat produksi.

Ini kerana kata Sarimah, dia masih aktif menerima tawaran lakonan dan baru saja selesai menjalani penggambaran kempen bersama jenama antarabangsa.

"Lakonan tetap jiwa seni saya. Selain itu, saya juga masih mengacarakan acara-acara langsung termasuk majlis korporat dan perkahwinan. Dunia seni ini dah sebati dalam diri saya sejak dulu," ulasnya.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: