26 September 2011

ISU HANTU BONCENG SELESAI - USTAZ NASRUDIN


Satu pertemuan di antara Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Nasrudin Hassan, dan Saudara Ahmad Idham Ahmad Nadzri, penerbit dan pengarah filem Hantu Bonceng, telah diadakan, bagi membincangkan beberapa isu yang diperkatakan oleh media sebelum ini.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah menyuarakan hasrat dan memberi penjelasan mengenai perkara tersebut. Hasil dari pertemuan itu, pihak Dewan Pemuda PAS dengan Excellent Pictures telah mencapai kata sepakat dan berpuas hati dengan semua penjelasan malah sebulat suara menyelesaikan masalah berbangkit dalam suasana yang cukup mesra.



Ahmad Idham merasakan pertemuan ini memberikan hasil yang cukup positif. Selain itu, ianya juga menunjukkan sifat keterbukaan kedua-dua belah pihak dalam menerima sebarang cadangan sekaligus memperbaiki penghasilan filem akan datang serta memberi nilai baik kepada industri perfileman tempatan, amnya.

Mencapai kata sepakat dalam beberapa isu yang diperkatakan, Ustaz Nasrudin telah menegaskan, mereka (Dewan Pemuda) sentiasa bersedia menyokong genre filem dan industri ini, yang boleh membawa mesej yang baik kepada masyarakat umum.

Dalam pertemuan itu juga, Ahmad Idham berkesempatan memberi penerangan kepada DPPM berkaitan senario industri perfileman tempatan, sekaligus mencuit minat Dewan Pemuda PAS dalam bidang perfileman.

Ustaz Nasrudin dan Ahmad Idham, juga telah berjaya menyelesaikan masalah yang heboh diperkatakan dengan baik setelah kedua–dua belah pihak saling memberi dan mendengar penjelasan serta mengenali antara satu sama lain.

Dalam kesempatan ini juga, kedua- dua belah pihak memohon agar isu berkaitan filem Hantu Bonceng tidak lagi diperbesar atau dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana ia telah diselesaikan dalam pertemuan tersebut.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan dialog mengenai syahadah dalam filem Hantu Bonceng tidak mempersendakan Nabi Muhammad.

Pengesahan itu dibuat setelah pegawai jabatan berkenaan menonton filem itu, kata Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LFP) Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap.

Beliau berkata dalam babak pelawak terkenal Zizan yang sedang terlantar di hospital selepas kemalangan jalan raya yang menyebabkan wanita yang membonceng motosikalnya maut, Zizan telah mengucap kalimah syahadah setiap kali muncul wajah wanita yang maut itu.

“Dalam kesemua kalimah (Zizan) ada elemen berhenti sekejap. Oleh itu, tidak timbul sama sekali isu mempersendakan syahadah kerana perkataan syaitan tidak disebut dalam satu nafas,” katanya dalam kenyataan Khamis lalu.

“LPF sejak kali pertama menapis filem ini telah memberi perhatian yang teliti sebelum membuat keputusan. Lembaga sentiasa berpegang kepada empat elemen utama dalam sesuatu penapisan iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosio budaya, ketertiban dan ketatasulisaan.

“Dalam isu ini elemen keagamaan telah diberi perhatian cermat dan teliti oleh lembaga,” tambahnya.


No comments: