14 September 2011

MARSHA NAFI MAHU BUNUH DIRI

"Marsha kini beransur pulih," kata jurucakap Marsha Milan Londoh, 26, dipetik sebagai berkata setelah penyanyi dan pelakon itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) seminggu lalu atas dakwaan cuba membunuh diri.

Bagaimanapun, Marsha terpaksa berehat dari segala aktiviti seni buat sementara waktu sehingga dia pulih sepenuhnya kerana masih diawasi oleh doktor.

"Setelah menerima beberapa rawatan daripada pihak hospital, Marsha menunjukkan tanda-tanda positif dan semakin pulih. Beliau sudah boleh makan dan bertutur seperti biasa. Walau bagaimanapun Marsha masih di bawah pengawasan pihak hospital.

"Segala aktiviti seninya akan dihentikan buat seketika dan dia akan kembali aktif setelah sihat sepenuhnya dan juga mendapat kebenaran doktor," demikian kenyataan pihak pengurusan Marsha Londoh Entertainment kepada media.

Pihak pengurusan itu juga menafikan spekulasi yang mendakwa penyanyi tersebut bertindak membunuh diri dengan menelan pil kerana putus cinta.

"Marsha telah dikejarkan ke PPUM oleh pihak pengurusan kediamannya di Taman Desa dekat sini pada pukul 11 pagi hari kejadian setelah ditemui pengsan berdekatan tempat letak kereta di kediamannya.

"Setelah dimasukkan ke wad kecemasan, Marsha diberi rawatan rapi dan dipindahkan ke wad biasa selepas keadaannya stabil.

“Pada hari kejadian Marsha berada dalam keadaan tidak sihat dan demam, oleh yang demikian Marsha telah mengambil ubat bagi meredakan sakitnya.

“Setelah itu, Marsha keluar rumah sendirian. Dalam perjalanan pulang, Marsha terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan yang dipandunya melanggar pembahagi jalan.

"Akibat trauma dan kesan ubat yang diambil, Marsha hilang kawalan dan telah jatuh dari tangga berhampiran tempat letak kereta di kediamannya dan telah mengalami kecederaan di bahagian dahi, mata dan bibir,” menurut kenyataan tersebut.

"Kami berharap agar kenyataan yang dikeluarkan ini dapat memberi gambaran jelas keadaan yang berlaku pada Marsha tanpa membuat sebarang spekulasi yang memburukkan lagi keadaan," tambah pihak pengurusan penyanyi itu.

Difahamkan, Marsha akan membuat sidang media dalam waktu terdekat bagi menjelaskan masalah yang timbul.




BERITA TERDAHULU:
MARSHA AF3 CUBA BUNUH DIRI??
MARSHA STABIL, NAFI TELAN PIL BERLEBIHAN


No comments: