04 November 2011

'BOMOH' BANTU YUSRI KRU HINDAR HUJAN


Meskipun kita sudah berada di zaman serba moden dan canggih, namun masih ada segelintir pihak yang masih percaya dengan 'kelentong' bomoh. Mereka percaya bomoh tersebut mampu menghindarkan bala, menarik rezeki dan sebagainya hingga ada yang kerugian beribu ringgit.

Begitulah juga yang mungkin berlaku terhadap pengarah filem Vikingdom, Yusry Abdul Halim yang secara terus-terang mengakui telah menggunakan khidmat bomoh untuk 'menahan hujan' ketika melakukan penggambaran filem bertaraf antarabangsa itu.

Alasan Yusry, dia menggunakan alternatif tersebut sekadar 'salah satu usaha' untuk melakukan penggambaran secepat mungkin.

"Saya tidak percaya tentang perkara-perkara begini tetapi ia hanya hanya satu usaha sahaja untuk kami melakukan penggambaran dengan lancar.

“Lagipun sekarang ini tiap-tiap hari hujan, jadi kami terpaksa panggil bomoh hujan. Namun saya bertuah kerana setakat ini, bila saya shoot pagi, malam yang hujan dan jika shoot malam, pagi yang hujan. Apapun saya pasti, bukan kami saja yang menggunakan khidmat bomoh hujan ini, tapi semua produksi pun macam itu juga.

Salah satu adegan Vikingdom - klik untuk imej besar...




Yusry Abd Halim - pengarah Vikingdom


"Alhamdulillah sama ada betul atau kebetulan penggambaran untuk beberapa babak yang dilakukan di luar kawasan berjalan lancar biarpun hujan lebat turun selepas setiap kali selesai penggambaran," katanya dipetik sebagai berkata, di Marriot Putrajaya.

Salah satu adegan Vikingdom


Difahamkan, Vikingdom membariskan ramai pelakon antarabangsa seperti Dominic Purcell, Crig Fairbrass, Natassia Malthe dan Jon Foo sebagai tunggak utama. Ia merupakan projek bertaraf antarabangsa bagi KRU Studio dan menjalani penggambaran di beberapa lokasi di Malaysia.

Selain menggunakan 100 peratus bahasa Inggeris dan skripnya ditulis James Coine, Vikingdom turut menggunakan teknologi stereoskopik 3D sebagaimana pembikinan filem Avatar. Vikingdom dijangka memasuki pawagam penghujung 2012 atau awal 2013 nanti.


...................

SEKADAR RENUNGAN (Allahu A'lam)

Bomoh Tolak Hujan

Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi bagi tujuan menahan hujan dari turun. Selain itu, khidmat bomoh juga turut digunakan bagi mengesan (meramal dengan ilmu ghaib) sama ada pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini dilakukan dengan harapan supaya tempat diadakan sesuatu acara sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan lancar.

Sedangkan Allah s.w.t berfirman: “Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri…” (Surah al-An’am, 6: 59)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadith Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya: “Kita tidak mempercayai (ucapan) dukun mahu pun tukang ramal (bomoh), demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” (Imam ath-Thahawi, Aqidah ath-Thahawiyah. Rujuk: Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 90, Pustaka at-Tibyan)

Berkenaan turunnya hujan, banyak hadith-hadith Rasulullah s.a.w menyarankan kita supaya bersyukur di atas sebab turunnya hujan. Ini adalah sebagaimana di dalam doa yang dicontohkan oleh Nabi s.a.w: “Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman, dan binatang).” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 1032)

Dan penjelasan Rasulullah sendiri sebagaimana berikut: “Kita diberi hujan adalah kerana kurnia dan rahmat Allah.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 1038)

Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.

Dari Anas r.a, beliau menjelaskan doa tersebut sebagaimana berikut:

اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 1013)

Allah s.w.t berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)

Malah, berkenaan dengan hukum berjumpa dengan bomoh, pawang, atau pun dukun yang dikatakan mampu menolak hujan dan memiliki kelebihan ilmu ghaib tertentu ini, Rasulullah s.a.w telah menjelaskan kepada kita melalui sabdanya: “Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.” (Hadith Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

No comments: