25 November 2011

KERANA AIM, ANUAR ZAIN 'TEBALKAN MUKA'


Nasi sudah menjadi bubur!

Demikianlah kiasan yang boleh disimpulkan mengenai isu trofi Anugerah Industri Muzik (AIM 18) yang 'terpaksa' dipulangkan oleh Yunalis Zarai (Yuna) dan diserahkan pula pada Anuar Zain (lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim). Walau apapun alasannya, ia tetap menjadi satu sejarah hitam dalam industri hiburan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sememangnya, agak 'tebal muka' juga Anuar untuk hadir menerima trofi tersebut yang disifatkan oleh segelintir pihak sebagai trofi 'secondhand'. Namun disebabkan mahu bersikap profesional tanpa prejudis, semua rasa pahit itu terpaksa ditelan jua oleh penyanyi vokal terbaik itu.

Klik untuk imej besar...



"Saya tidak mahu dengan pembetulan ini akan menimbulkan fikiran negatif terhadap saya atas kemenangan Yuna pada malam AIM 18 pada 12 November lalu.

"Ini merupakan satu kesilapan yang menjadi sejarah dalam industri hiburan tanah air, secara jujurnya ketika menerima berita ini, saya agak terkejut.

"Saya tidak mahu orang luar menganggap kami telah mempertikaikan kemenangan Yuna untuk kategori tersebut, sedangkan saya sendiri menerima keputusan lagu 'Penakut' sebagai Lagu Terbaik pada malam itu dengan hati yang terbuka," kata Anuar dipetik sebagai berkata pada sidang media tergempar AIM 18, semalam.

"Saya menganggap perkara tersebut sebagai kesilapan besar yang sememangnya boleh menjejaskan kredibiliti seseorang artis yang tidak bersalah.

"Jika diikutkan saya, berat untuk terima anugerah ini dan tidak mahu datang untuk berdepan dengan Yuna menerima trofi kemenangan tersebut.

"Kadang kala saya rasa anugerah tersebut tidak perlu untuk dipulangkan dan perkara ini lebih baik dibiarkan diam sahaja," ujar Anuar dengan berat hati.

Tambah Anuar, berfikiran positif adalah sesuatu yang baik dan ia dapat membantu industri seni pada masa akan datang.

"Saya hormat Yuna lebih kerana dia sanggup datang untuk majlis pemulangan anugerah ini dengan hati yang terbuka dan positif.

"Saya juga berharap tidak berlaku lagi kejadian sebegini yang boleh mengakibatkan kredibiliti AIM dan RIM dipertikaikan," ujarnya.

Kesimpulannya, Anuar dan Yuna adalah mangsa kesilapan segelintir pihak yang menjalankan tugas sambil lewa. Mahu tidak mahu, mereka berdua 'terpaksa' menebalkan muka 'memulang' dan 'mengambil' trofi tersebut demi 'maruah' masing-masing!

No comments: