06 December 2011

CINTA KURA-KURA TEMUI PENONTON 2012


Sebagai peneraju penerbitan filem dengan penggunaan kesan khas (CGI), KRU Studios sekali lagi meneruskan tradisi untuk memberikan kelainan kepada peminat industri perfileman tempatan dengan menampilkan elemen animasi 3D didalam filem terbarunya berjudul 'Cinta Kura-Kura'. Filem cereka berkonsep fantasi romantik komedi ini di bawah arahan Nizam Zakaria yang buat julung kalinya diberikan peluang untuk menjadi pengarah bagi filem ke 10 terbitan KRU Studios.

“Kami sentiasa mencari dan mengetengahkan bakat-bakat baru samaada di dalam penulisan skrip, pengarahan, lakonan dan nyanyian. Walaupun Nizam pernah mengarah beberapa rancangan televisyen, bakat beliau begitu menyerlah bagi genre seperti Cinta Kura-Kura dan kami yakin penonton akan terhibur dengan filem ini. Semoga dengan sumbangan kreatif bakat-bakat baru ini, produk-produk terbitan KRU Studios akan sentiasa diterima penonton dengan variasi hiburan yang segar," ujart Norman Abdul Halim selaku Eksekutif Presiden KRU Studios merangkap Penerbit Eksekutif filem tersebut.




"Saya ingin berterima kasih kepada KRU Studios kerana memberi saya peluang untuk mengarahkan filem yang unik yang saya pasti akan menyumbangkan kepada kepelbagaian genre didalam dunia perfileman Malaysia," kata Nizam pula penuh semangat.

Cinta Kura-Kura mengisahkan tentang seorang gadis ceria berusia 21 tahun bernama Nani lakonan Tiz Zaqyah bersama binatang peliharaannya, Nico (Zizan Raja Lawak). Nico adalah seekor kura-kura spesis terancam dan ia mempunyai kelebihan luarbiasa iaitu boleh bercakap dengan manusia, tapi sekiranya dia mahu melakukannya.

Kisah romantik komedi ini bermula disaat Nani berpindah ke rumah abangnya, Amin (Bob AF). Jiran Nani, Adam lakonan Airel Zafrel telah jatuh hati dengan Nani sejak kali pertama dia memandangnya. Bagaimanapun, Nico mempunyai calon pilihannya sendiri sebagai teman hidup Nani iaitu Fazli (lakonan Fizz Fairuz), seorang pemilik kedai binatang peliharaan yang mempunyai agendanya tersendiri. Kehidupan mereka menjadi huru-hara apabila kura-kura mula campur tangan dalam kehidupan manusia.

Filem ini buat julung kalinya menampilkan teknologi CGI bagi animasi (character animation) bagi watak Nico, Mira (Fara Fauzana) dan Atuk (Shy8 atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha). Ia juga disampaikan dalam babak serta dialog lucu yang sesuai untuk tontonan umum pada 2012 nanti.

KRU Studios juga meneruskan tradisi mempromosikan filem melalui lagu dan yang terbaru menerusi lagu 'Tiga Kata' ciptaan sepenuhnya Edry nyanyian trio adik-beradik KRU. Disamping itu, sebuah lagu lagi akan ditampilkan di dalam filem ini diberi judul 'Pencinta Terbaik'.


GAMBAR-GAMBAR FILEM:

















No comments: