20 December 2011

NOH HUJAN BINTANGI FILEM BARU NAMAWEE


Jika sebelum ini Afdlin Shauki dan Adibah Noor mengambil risiko untuk berlakon dalam filem Namawee menerusi filem Nasi Lemak 2.0, kini vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh pula bersedia untuk dihentam.

Ia berikutan kesediaannya untuk beraksi dalam filem kedua pengarah kontroversi, Namawee, berjudul Hantu Gangster. Kata Namawee, dia menganggap kesediaan Noh sebagai satu penghargaan besar buat dirinya kerana penyanyi itu sudi menerima tawaran tersebut.

Klik untuk imej besar...






"Saya selalu kagum dengan kehebatan karya muzik Hujan. Saya percaya, kemunculan Noh pasti ditunggu-tunggu ramai kerana filem ini merupakan penglibatannya yang pertama ke layar perak.

"Menarik lagi, Hujan juga akan tampil dengan sebuah lagu tema Hantu Gangster," kata Namawee dipetik sebagai berkata.

Selain Noh, filem Hantu Gangster turut dibintangi oleh Diana Danielle, Farid Kamil, Dato David Arumugam, Datuk Jalaluddin Hassan, Reshmonu, Amber Chia, Taijuddin Bakar, Dennis Lau dan beberapa pelakon tambahan.

Difahamkan, filem komedi seram ini mengisahkan tentang tiga kumpulan gengster dari latar belakang budaya yang berbeza, berganding bahu dalam mempertahankan keluarga mereka, melalui bantuan seorang pencuri.

Melihat daripada barisan para pelakon tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa makin ramai pelakon kita yang tidak lagi fobia bila mendengar nama Namawee. Semuanya kemungkinan disebabkan kejayaan pengarah muda itu memecahkan kutipan bos office melalui Nasi Lemak 2.0 sejumlah RM7 juta.

"Kejayaan filem Nasi Lemak 2.0 membuatkan saya bersemangat untuk kekalkan konsep kepelbagaian kaum dari segi plot cerita dan dialog buat Hantu Gangster.

"Untuk menampakkan kelainan, saya menjemput beberapa bintang filem dan pemuzik terkenal dalam industri hiburan untuk menyertai filem terbaru ini yang sudah pun memulakan penggambarannya di Klang isnin lalu.

"Banyak juga masa yang dihabiskan bagi mengkaji latar belakang setiap pelakon terutamanya yang baru dengan mereka khas watak-watak unik untuk mereka dalam filem ini. David Arumugam juga menyumbangkan suara untuk lagu “soundtrack” filem ini," tambah Namawee.

Untuk makluman, meskipun Namawee berjaya memecahkan tradisi perfileman Cina apabila Nasi Lemak 2.0 mendapat kutipan tinggi, namun dia sebenarnya gagal mendapat skim rebat cukai kerajaan kerana tayangannya tidak melalui Skim Wajib Tayang.

Namun yang mengubat hatinya ialah apabila filem tersebut baru-baru ini ditayangkan di acara berprestij Film Festival Antarabangsa Golden Horse, Taipei dan ditayangkan di Singapura.

"Kami telah menerima jemputan dari beberapa festival filem termasuk Jepun, HongKong dan Eropah. Bagaimanapun, saya teringin sangat menyertai Festival Filem Malaysia (FFM) di masa akan datang.

"Harap-harap, selepas tayangan Hantu Gangster yang dijangka pada bulan Ogos tahun depan, filem ini akan dicalonkan dalam FFM.

"Semoga Finas atau pihak berkuasa yang berkaitan dapat memberi lebih banyak sokongan pada kali ini, kerana Hantu Gangster juga mempunyai mesej positif kepada masyarakat Malaysia," harapnya.

No comments: