22 February 2012

SUDIRMAN: HILANGNYA TAK BERGANTI


Tarikh 22 Februari 2012 (hari ini), sudah 20 tahun kita kehilangan penyanyi terhebat Sudirman Hj Arshad, Penghibur Terbaik Asia. Ketika meninggal, beliau baru berusia 37 tahun dan sedang berada di puncak populariti yang tiada tandingnya.

Kematian Allahyarham yang diumumkan ke seluruh negara oleh Radio Malaysia Rangkaian Nasional, pada waktu subuh amat mengejutkan ramai peminat seni tanahair.

Mengimbas kembali sejarah hidup Allahyarham, beliau adalah manusia yang amat istimewa dan antara artis contoh yang bukan sahaja berjaya dalam kerjayanya tetapi dalam pelajaran. Pengiktirafan dalam kerjaya dan pelajaran itu juga telah membuat Sudirman digelar 'The Singing Lawyer'.

Klik untuk imej besar...




Untuk info, Sudirman dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang dan membesar dalam keluarga yang aktif berpolitik. Ibunya Romlah Dahalan merupakan wakil rakyat wanita pertama di kawasan Temerloh. Beliau meninggal dunia ketika Sudirman berusia lima tahun.

Kematian ibunya itu menyebabkan bapanya Arshad Hassan berkahwin lain sebelum meninggal dunia pada tahun 1978.

Anak bongsu daripada enam beradik ini melanjutkan pelajaran dalam bidang Undang-Undang di Universiti Malaya pada tahun 1976 sehinggalah berjaya mendapat ijazah dalam bidang berkenaan pada tahun 1980.



Beliau menjalani latihan amalan guaman pada tahun 1984 dan layak menjadi peguam bertauliah. Namun minatnya dalam bidang seni menyebabkan Allahyarham meninggalkan kerjayanya itu.

Sejarah dalam bidang seni Allahyarham terbuka luas apabila beliau berjaya menyandang Johan Bintang RTM yang diadakan di Melaka pada 11 Ogos 1976.

EP pertamanya dihasilkan pada tahun 1977 berjudul Teriring Dosa dan Suratku Yang Ini terbitan Warnada Records. Ia diterbitkan ketika beliau masih lagi menjadi penuntut di Universiti Malaya.

Kerjayanya seninya terus berkembang apabila EMI menawarkannya kontrak sebagai artis rakaman pada tahun 1978.

Beliau bukan sahaja mempunyai lagu-lagu yang menyentuh jiwa sebaliknya Allahyarham turut berkeupayaan menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti 31 Ogos, Tegakkan Bendera Kita dan Warisan.



Paling membanggakan pada tahun 1986 Allahyarham dilantik sebagai Duta Nyanyian Pelancongan apabila berjaya mempopularkan lagu Cintai Malaysia, Kenali Malaysia ciptaan Carol Connors dari Amerika Syarikat yang dijadikan tema Tahun Melawat Malaysia pada 1986.

Kehebatannya tidak terhenti apabila mampu menjadi artis pertama negara dalam sejarahnya yang berjaya menarik lebih 100 ribu warga kota untuk menyaksikan konsertnya di Chow Kit, Kuala Lumpur secara percuma.





Penghasilan konsert itu adalah sebahagian daripada keluhuran budi Sudirman yang sanggup melayan peminatnya tanpa mengira pangkat atau darjat.

Chow Kit adalah simbol untuk mereka yang kurang berkemampuan dan di lokasi itulah Allahyarham memperdagangkan bakatnya untuk para peminat golongan tersebut supaya dapat mendekatinya dalam satu persembahan percuma.

Seterusnya, Sudirman merupakan penyanyi pertama Malaysia memenangi anugerah Penghibur Terbaik Asia dalam pertandingan Anugerah Muzik Popular Asia pertama yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London pada 19 Mac 1989.

Sudirman telah mengalahkan lapan orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Filipina, China dan Singapura. Dalam pertandingan tersebut beliau telah menyanyikan 2 buah lagu Inggeris ‘A Thousand Million Smiles’ dan ‘Send In The Clown’ dengan menggayakan aksi lucu ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan yang membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil negara lain yang lebih hebat popularitinya.

Kejayaan beliau telah diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan turut mendapat liputan meluas dari berbagai media di negara ini.



Kejayaannya dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seharusnya diberi sanjungan yang berterusan meskipun pada saat ini beliau telah tiada lagi untuk terus mewarnai dunia seni suara tanah air dengan pencapaian-pencapaian gemilangnya.

Al-Fatihah buat Alllahyarham. Moga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.




ARKIB BERITA:
KAY... BEKAS ISTERI SUDIRMAN
PENGHIBUR TERBAIK ASIA

No comments: