13 December 2012

DERITA YAHYA SULUNG - DBKL TAMPIL 'BANTU'


Jika sebelum ini ada laporan akhbar yang mendakwa isteri Yahya Sulung Datin Alisah Ali menafikan yang dia suami isteri bakal mengosongkan rumah mereka gara-gara gagal menjelaskan tunggakan RM800 kepada DBKL, namun berita terkini lain pula halnya.

Pelik tapi benar apabila hutang sewa rumah pelakon veteran Datuk Yahya Sulong di Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur berjumlah RM800 itu telah diselesaikan atas 'keprihatinan' Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Presiden Seniman menyerahkan bantuan  
klik untuk imej besar...



Mungkin disebabkan 'kasihan', DBKL sendiri telah berkunjung ke rumah Yahya pada selasa lalu selepas media menyiarkan penderitaan dan kebimbangan beliau bersama isteri Alisah Ali, 65. Kebimbangan Alisah bersandarkan dia suami isteri merasa bakal diarahkan keluar rumah oleh DBKL akibat sewa rumah yang tertunggak selama 8 bulan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak DBKL kerana sudi untuk membantu menyelesaikan semua hutang sewa rumah kami yang tertunggak selama lapan bulan ini.

"Mereka datang berjumpa kami Selasa lalu dan mengambil semua bil-bil yang berkaitan,” katanya kepada media dengan nada lega.



Untuk info, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) diwakili presidennya Zed Zaidi turut hadir menyerahkan sumbangan wang tunai bagi membantu mereka.

Lebih menarik selepas artikel tersebut tersiar, Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), turut menyatakan kesediaan mereka membantu pasangan tersebut termasuk memberi bantuan perubatan kepada Alisah yang menghidap kanser paru-paru.

Bantuan mendadak itu membuat Yahya dan isteri tidak menyangka masih ramai pihak yang bersimpati dengan nasib mereka.

"Saya anggap bantuan kewangan yang dihulurkan sebagai suatu rezeki daripada Allah dan tidak tahu bagaimana untuk membalas jasa mereka semua.

"Saya tidak pernah meminta-minta kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain tetapi sokongan dan keprihatinan mereka menyentuh hati saya," ujarnya yang selama ini bergantung pada sumbangan Baitulmal dan pencen arwah isteri Yahya yang terdahulu sebanyak RM400.

Yahya dan Alisah yang berkahwin sejak 34 tahun lalu tidak dikurniakan anak. Ia merupakan perkahwinan kedua bagi Alisah dan keempat buat Yahya.

No comments: