26 June 2014

SAYA MEMASAK BUKAN KEJAR POPULARITI - CHEF KAMARUL



Chef Kamarul yang tidak asing lagi melalui rancangan Baba's Cu~Bits menafikan spekulasi yang dia mahu membina nama sepertimana Chef Selebriti di Malaysia contohnya Chef Wan.

Menurut Kamarul atau nama sebenarnya Kamarul Hasni Che Rose, dia sebenarnya seorang Chef yang lain berbanding kebanyakan Chef di negara ini. Bukan populariti yang mahu dikejarnya, tetapi dia mahu membantu anak muda  membina kerjaya dalam bidang masakan sekaligus mencipta nama di mata dunia.





"Saya tak mahu kejar glamor atau publisiti sebagaimana Chef lain. Apa yang penting, saya mahu membantu generasi muda meningkatkan kerjaya mereka dalam bidang ini. Sebab itulah saya telah membuka sebuah restoran di tempat saya sendiri dan memberi peluang kepada usahawan berniaga di situ.

"Dengan cara tersebut, saya yakin lebih ramai anak-anak muda kita mendapat peluang perniagaan termasuk menimba ilmu dalam bidang masakan. Ikhlasnya, saya anggap ia sebagai satu kerja kebajikan untuk mereka semua tanpa mengharapkan sebarang imbuhan," ujarnya.



Untuk info, Chef Kamarul ditemui ketika pelancaran Baba's Cu~Bits musim ketiga untuk siaran TV3 di Hotel Empire, Subang Jaya, Selangor, semalam. Apa yang menarik, seramai 19 Chef undangan telah dijemput memeriahkan rancangan itu yang bakal bersiaran setiap Ahad, mulai 6 Julai ini.

Antara Chef-Chef tersebut ialah Chef Adu, Dato Fazley, Chef Gerhard, Chef Khairulzaman, Chef Riz, Chef Shahril, Chef Zainab dan ramai lagi.



Malah menurut Claudian Navin Stanislaus, Ketua Pengiklanan dan Promosi Baba's, program kali ini sememangnya amat berbeza berbanding yang sebelumnya. Ia bukan sahaja diselitkan elemen ceria, malah penonton juga boleh bersantai bersama Chef jemputan yang menyediakan masakan lain dari yang lain.

"Setiap kali BABA'S menghasilkan program masakan yang sudah bersiaran lebih 10 tahun ini, ialah berdasarkan maklum balas dan cadangan daripada pelanggan kami. Sebab itu kami berjaya mencuri hati mereka yang gemarkan sesuatu yang berbeza bagi mengisi masa, selera dan aktiviti mereka," tambahnya.











Artikel: Nur Fathehah
Foto: Kamarul




         ________________________


No comments: