03 July 2014

SUAMI MINTA TUMPU AGAMA - NORANIZA IDRIS BAKAL BERSARA



Suami Noraniza Idris, 46, iaitu Juffri Hudi, 55, meminta isterinya supaya meninggalkan bidang nyanyian pada akhir tahun ini untuk memberi tumpuan kepada amalan agama.

Bagaimanapun, disebabkan perjuangan Noraniza untuk memperjuangkan irama tradisional hingga berjaya masih belum tercapai, maka ia terpaksa ditangguhkan oleh penyanyi itu buat sementara waktu.





"Insya-Allah kalau program Siri Jelajah Zapin Nusantara yang sedang saya usahakan sekarang ini sampai kemuncaknya iaitu Konsert Diraja Akar Kita Zapin akhir tahun ini, saya akan berhenti dan serahkan tugas itu kepada pelapis," ujar Noraniza.

Penyanyi itu ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Kalimah Lebaran di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Selain berbuka dan pelancaran, mereka turut menyampaikan duit raya untuk anak-anak yatim yang dijemput khas ke majlis tersebut.



Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tengku Hishammuddin Zaizi, M. Nasir, Pak Ngah dan beberapa pejuang muzik tradisional lain.

Menurut Noraniza, dia akan tetap memberi khidmat nasihat dan memantau perjalanan irama tradisional yang diperjuangkannya dari belakang. Tambahnya, dia tidak mahu terus bersara begitu sahaja kerana dia takut ada pihak yang mempertikaikan keputusan tersebut.



"Saya mungkin akan lihat dan pantau daripada belakang sahaja," jelasnya.

Berbalik pada majlis yang berlangsung, Noraniza memberitahu dia (Noraniza Idris Production Ventures), Luncai Emas Sdn Bhd dan Rohana Kasih Enterprise telah menerbitkan sebuah lagu raya istimewa khas untuk peminat zapin.



Katanya lagu raya kali ini amat istimewa kerana lagu tersebut adalah gandingannya bersama penyanyi popular era 80-an iaitu Razis Ismail dan pendatang baharu Azmir Arif. Lagu tersebut dicipta oleh Pak Ngah manakala lirik pula oleh Fitri Yahya.

"Lagu ini istimewa kerana ia menggabungkan tiga generasi penyanyi berlainan era yang akan menambahkan lagi kemeriahan menyambut lebaran tahun ini," ujarnya yang turut melancarkan dua singlenya terbaharunya bersama Ihab Ismail iaitu lagu Akar Kita Zapin dan Pahlawan Zafrina.










Artikel: Nur Ain
Foto: Kamarul




         ________________________


No comments: