10 July 2014

WATAK WANITA DALAM 'MAT TUDUNG' - FIZZ FAIRUZ & IZZUE ISLAM SEDIA TERIMA KRITIKAN



Bertudung hanya berniat untuk memberi pengajaran berguna kepada penonton! Demikian kata Fizz Fairuz apabila diajukan soalan mengenai watak terbarunya sebagai wanita dalam filem 'Mat Tudung' terbitan ShowBiz Productions.

Artikel terdahulu:

Menurut Fizz, meskipun ada segelintir pihak mempertikaikan watak yang dibawanya termasuk ada yang menyifatkannya haram, namun dia meminta pihak terbabit menonton filem tersebut terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan.





"Saya faham apa yang mereka maksudkan itu, tapi sebagai pelakon saya mahu mencuba pelbagai watak yang mencabar. Jika segelintir daripada mereka boleh terima watak pelakon luar negara sebegitu, kenapa mereka tidak boleh terima watak saya ini.

"Lagipun, mereka harus tonton filem ini terlebih dahulu... barulah mereka akan faham kenapa saya berpakaian wanita. Ini kerana, ada nilai murni yang kami selitkan dalam filem 'Mat Tudung' ini," ujar Fizz Fairuz  ketika ditemui di pratonton filem tersebut di TGV Cinemas, Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam.

Malah Fizz turut menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai produk luar negara seperti filem Transformers yang terlalu diagungkan hingga penuh panggung, sedangkan produk tempatan sering menerima kritikan dan dianaktirikan.

"Kadangkala, saya jadi sedih dengan pemikiran penonton kita," tambahnya.

Selain Fizz, Izzue Islam turut menyuarakan pendapat sama bahawa filem tersebut mempunyai pelbagai mesej baik untuk disampaikan.

"Tontonlah filem ini sebagai cerita, bukan menganggapnya sebagai kejadian sebenar," katanya.

Sementara itu, Zarina Abd Rahman selaku Penerbit Showbiz Productions berkata, dia mensasarkan kutipan sekitar RM5 juta untuk filem 'Mat Tudung' yang menelan belanja pembikinan dan promosi RM1.5 juta ini.

"Untuk pengetahuan, filem ini mendapat klasifikasi PG13 dan ia sesuai ditonton oleh seluruh masyarakat Malaysia. Kami harap anda semua akan terhibur dengan filem komedi 'Mat Tudung' yang penuh dengan nasihat ini," ujarnya.

Filem arahan pengarah muda, Waan Hafiz (yang sebelum ini mengarah filem 'Hantu Tok Mudim') itu menggandingkan Fizz Fairuz, Nelydia Senrose dan Izzue Islam sebagai pelakon utama. Mereka turut dibantu oleh Harun Salim Bachik, Rosnah Mat Aris, Munir, Jihan Raja Lawak dan ramai lagi.

Mat Tudung akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Hari raya nanti iaitu 28 Julai 2014.




Klik gambar untuk size besar












Tonton Trailer



Artikel: Nur Fathehah
Photo: Kamarul




         ________________________


No comments: