11 August 2014

JACLYN BEKERJASAMA DENGAN PENERBIT ALBUM THE BLACK EYES PEAS



Peluang bekerjasama dengan dengan penerbit album yang pernah bekerja dengan kumpulan terkenal Amerika Syarikat, The Black Eyed Peas iaitu Rick Dixon, tidak akan disia-siakan oleh penyanyi Jaclyn Victor.

Menurut Jaclyn, tawaran itu dibuat oleh Rick atau lebih dikenali dengan nama Rick One selepas dia mengadakan persembahan di Whisky A Go Go di West Hollywood, Los Angeles, California, Amerika Syarikat baru-baru ini.

"Persembahan tersebut adalah salah satu siri pengenalan bagi memberi peluang penggiat muzik di negara itu mengenali bakat saya dan tidak sangka mendapat tawaran untuk bekerjasama dengan Rick.





"Saya cukup teruja kerana aktiviti promosi yang diadakan di Los Angeles mula menampakkan hasil dan berharap pelawaan itu nanti akan menjadi kenyataan," kata Jaclyn menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat rakamannya KRU Music.

Untuk info, Jaclyn sebelum ini telah pergi ke Los Angeles dari 5 hingga 13 Julai lalu dalam rangka mempromosikan single terbaharunya berjudul 'Remedy'. Album tersebut juga telah diedarkan menerusi lebih 80 platform digital bermula 10 Julai lalu.



Terdahulu, Jaclyn memberitahu selain mengadakan persembahan dia juga sempat bertemu dengan wakil media di sana selain melakukan sesi temuramah dengan beberapa stesen radio di Los Angeles bagi mempromosikan 'Remedy'.

Malah dia juga sempat membuat kemunculan dalam program televisyen berjudul Kababayan Today yang disiarkan di saluran LA18 serta rakaman dalam beberapa rancangan lain.



"Selama berada di sana saya berjaya mendapat keyakinan dan pendedahan dengan industri muzik antarabangsa terutamanya dalam memasarkan album di peringkat global.

"Peluang ketika berada di Los Angeles saya gunakan sebaik-baiknya kerana bukan mudah untuk menembusi pasaran antarabangsa tetapi dengan usaha yang dilakukan oleh KRU Music mula menampakkan hasil," ujarnya yang bakal tampil dengan album bahasa Inggeris berjudul 'Unleashed' pada September depan.

Album tersebut diterbitkan sepenuhnya oleh, Edry Abdul Halim dan ia turut menampilkan empat lagi single yang bakal menjadi hit seperti Pinnacle, Sweeter Than A Dream, Over And Over dan Delirious.






         ________________________




No comments: