15 October 2014

NOVEL DIDAKWA MENGANDUNGI UNSUR SEKS MELAMPAU - RAJA AZMI DILARANG TEMUI PELAJAR UIAM KAMPUS KUANTAN



Entah di mana silapnya, Penulis novel KARKUMA, Raja Azmi Raja Sulaiman telah dilarang mengadakan pertemuan bersama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Kampus Kuantan pada 18 Oktober ini bersempena dengan Hari Terbuka UIAM Kuantan, Pahang.

Menurut pihak pengurusan UIAM Kuantan, antara sebab Raja Azmi tidak dibenarkan untuk mengadakan dialog bersama pelajar ialah kerana banyak novel-novel Raja Azmi mengandungi unsur seks dan fantasi melampau.

Pihak pengurusan UIAM Kuantan juga memberitahu dalam jawapan pesanan ringkas whatsapp: "apa faedah bedah buku tu kepada mahasiswa, kenapa tidak buku-buku ilmiah yang lain?"





Tuduhan tersebut didakwa amat tidak adil dan melulu oleh penerbitnya Merpati Jingga di mana menurut mereka Raja Azmi sebelum ini pernah menerbitkan bahan berkualiti seperti ajaran solat untuk kanak-kanak, buku komik Anak-anak Sidek, skrip-skrip drama dan buku novel politik.

Bahkan menurut mereka, novel KARKUMA tidak ada halaman yang memaparkan adegan seks seperti yang didakwa.



"Kami ingin menekankan di sini bahawa berdasarkan jawapan pihak pengurusan UIAM tersebut, jelas menunjukkan bahawa UIAM Kampus Kuantan mempunyai sekatan dalam membenarkan seseorang itu ‘memasuki’ kampus dalam memupuk sikap matang para pelajar dan tidak mempunyai sikap yang terbuka.

"Kami juga berpandangan bahawa pihak pengurusan UIAM Kuantan seolah-seolah berperanan sebagai polis moral yang membentuk acuan yang dikehendaki pihak UIAM Kuantan.

"Justeru, Merpati Jingga dengan sekaligus menarik balik penyertaan kami dalam semua program yang telah dipersetujui bersama UIAM Kuantan untuk acara tersebut. Hari Terbuka UIAM Kuantan merupakan acara istiadat konvokesyen institusi tersebut.



"Pada masa yang sama, pihak Merpati Jingga telah mengalih penyertaan Raja Azmi pada 18 Oktober 2014 ke Kolej Matrikulasi Labuan yang mahukan penulis itu berkongsi inspirasi dalam bidang penulisan.

"Kami juga membuka kepada mana-mana kampus IPTA dan IPTS yang mahu mengadakan sessi dialog yang sama boleh menghubungi pihak Merpati Jingga bagi mempersiapkan pelajar-pelajar mereka yang berminat dalam bidang penulisan untuk mengadakan forum bersama Raja Azmi Raja Sulaiman," demikian kenyataan balas Merpati Jingga sebagai penerbit buku Raja Azmi itu.



         ________________________




No comments: