07 November 2014

SAYA TERPAKSA MENGAKU CURI TELEFON BIMBIT - ALIFF AZIZ



"Isu mencuri telefon bimbit itu sudah selesai. Saya berada di tempat dan waktu yang salah. Natijahnya saya terpaksa mengaku bersalah biarpun saya tidak melakukan perkara itu.

"Undang-undang di Singapura berbeza di sana. Atas saranan pihak peguam bela, saya mengaku saja dan bayar denda untuk memendekkan proses berkaitan," demikian kata Aliff Aziz ketika ditanya media mengenai isu dakwaan mencuri telefon bimbit di Singapura baru-baru ini.

Aliff ditemui media ketika acara pradengar albumnya berjudul 'Rebirth' semalam di pejabat Sony Music Entertainment Malaysia, di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.





Tambah penyanyi itu, disebabkan dia tidak mahu melalui proses pengadilan yang panjang, sebab itulah dia terpaksa mengaku melakukan kes tersebut.

Selain mencuri, Aliff turut dikemukakan soalan mengenai perihal dia lari dari set penggambaran drama, namun katanya, isu itu tidak pernah wujud dan ia telah ditokok tambah pihak tertentu hingga jadi pelbagai versi termasuk isu berhutang.

"Pertamanya saya minta maaf kepada semua pihak yang tidak berpuas hati dan kecewa dengan saya. Tak nafikan saya berperang dengan komitmen lakonan dan melunaskan rakaman lagu.

"Saya memang tak pernah lari dari set penggambaran. Cuma ada kalanya kepenatan dan jatuh sakit, saya gagahkan berlakon juga. Saya sedar jika saya tak datang berlakon ia akan menjejaskan perjalanan penggambaran.

"Tapi bila saya datang berlakon dalam keadaan penat, timbul pula cerita seperti yang bertebaran kononnya saya lalok," jelasnya dipetik sebagai berkata.

Enggan mengenang kisah lalu, kehadiran album terbarunya kali ini yang berjudul 'Rebirth' itu membawa semangat baru serta umpama kelahiran semula buat dirinya.

Album berkenaan sepatutnya diedarkan tahun ini tetapi atas beberapa masalah ia ditunda hingga ke Januari depan.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album tersebut ialah, Selayaknya Aku, Hari Ini, Coba, Setelah Kau Pergi, Dengarkan Aku, Pujangga, Novella, Tak Ada Cinta Sepertimu, Dan Lagi Cinta.








         ________________________




No comments: