04 November 2014

TIADA JODOH DENGAN SUAMI ORANG - HANEZ SURAYA AKUI KESILAPAN DIRI



Mahu tutup semua cerita lama dan buka lembaran baru. Demikian pengakuan Hanez Suraya atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 29, yang teruk dikecam sepanjang 2014 akibat didakwa merampas suami orang,

"Saya mahu menutup semua cerita yang terjadi beberapa bulan yang lalu dan mahu membuka lembaran baru. Selepas ini kalau boleh saya mahu elak perkara yang boleh mengundang kontroversi. Jadi selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam setiap hal yang saya lakukan," ujar Hanez dipetik sebagai berkata.

Mengenai hubungan cintanya bersama Romie yang didakwa telah berakhir, Hanez menjelaskan yang dia kini tidak lagi bersama Romie.





"Saya anggap hubungan saya dengan dia tak ada jodoh. Tapi hubungan antara kami masih baik, tiada sebarang persengketaan yang terjadi. Saya sudah tidak mahu fikirkan. Jika selepas ini, kalau ada jodoh, adalah. Kalau tiada, tak mengapa. Buat masa ini, cukuplah. Saya tidak mahu komen lebih-lebih," katanya yang di temui media di Midfields Square, Sungai Besi, semalam.

Malah penolakan beberapa stesyen televisyen diakui oleh Hanez sememangnya berpunca daripada isu hangat tersebut dan ia memang memberi impak terhadap kariernya.



"Sedikit sebanyak, saya tak nafikan kontroversi yang terjadi memberi kesan kepada karier saya. Tetapi saya anggap semua yang terjadi kepada saya adalah bukan rezeki. Insya-Allah, mungkin rezeki saya ada tapi akan datang selepas ini. Biar saya senyap seketika, ambil masa untuk muhasabah diri dan belajar daripada kesilapan," tambahnya.

Sehubungan itu, Hanez meminta maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan cerita kontroversi yang dihadapinya dan memohon agar dia diberikan ruang untuk membuka buku baru dalam kehidupan dan perjalanan kerjayanya sebagai seorang pelakon.



"Buat masa sekarang, biar semua benda berlalu dahulu. Saya sendiri dengan rasa rendah hati ingin memohon maaf kepada semua pihak jika ada salah dan silap saya sebelum ini. Apa yang terjadi, cukuplah. Saya sudah terima macam-macam perkara. Saya mengambil perkara ini secara positif dan saya sudah maafkan semua. Saya terima semua komen dan kritikan yang diberikan. Biar saya buka lembaran baru selepas ini," pintanya.

Mengenai cemuhan segelintir pihak yang mengandaikan Hanez sebagai ‘sudah terhantuk baru nak terngadah’, dia bagaimanapun mengakui segala kesilapan yang terjadi membuatkan dia terus belajar.

"Bila terhantuk itu membuatkan kita belajar. Sebab itu kesilapan kita, manusia tidak sempurna. Saya sebagai manusia biasa, saya anggap kesilapan itu membuatkan saya kembali muhasabah diri. Apa yang terjadi betul-betul membuatkan saya belajar," ujarnya tanpa berselindung.



         ________________________




No comments: