09 July 2015

KESIHATAN MEROSOT - YAZIT SEARCH TAK BOLEH JALANI PERMINDAHAN BUAH PINGGANG



Pemain drum kumpulan Search, Yazit atau nama sebenarnya, Yazit Ahmad, 53, terpaksa melupakan hasrat untuk melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang daripada penderma organ ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Menurut Yazit, pakar kardiologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan jantungnya hanya berfungsi di bawah paras 50 peratus dan keadaan itu berisiko untuk melakukan pembedahan.

"Menurut kata doktor masalah penderma bukan isu utama tetapi keadaan pesakit itu sendiri sama ada dalam keadaan stabil atau pun tidak untuk melakukan pembedahan.

Klik gambar untuk size besar




"Malangnya jantung saya mengalami masalah dan tidak sesuai untuk melakukan pembedahan dan sekiranya saya berdegil juga mungkin saya akan mati," ujar Yazit dipetik sebagai berkata.

Bekas Pengurus Besar BMG Music, Datuk Aziz Bakar turut hadir pada lawatan tersebut dan meluangkan masa hampir satu jam bersama Yazit.

Yazit terlantar di HKL sejak awal Ramadan lalu selepas jantungnya mengalami jangkitan kuman.



Yazit berharap dapat menyambut Aidilfitri di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Yazit berkata, doktor yakin keadaan jantungnya akan bertambah baik selepas menerima rawatan sebelum pemeriksaan dilakukan semula untuk memastikan dia sesuai untuk menjalani pembedahan.

Bagaimanapun kata Yazit, dia mungkin terpaksa menunggu tiga tahun lagi kerana keutamaan akan diberikan kepada pesakit yang sudah menjalani rawatan dialisis lebih daripada 10 tahun.

"Saya tidak berputus asa kerana harapan itu masih ada untuk saya sembuh dan bangkit semula," jelasnya.

Sementara itu, Yazit berkata, dia terharu apabila hampir 50 peminat setia melawatnya di hospital untuk bertanya tentang keadaannya baru-baru ini.

Jelasnya, lawatan tersebut begitu bermakna kerana ia dapat melupakan tentang kesakitan yang ditanggungnya selama ini.

"Selain isteri dan anak-anak, kehadiran peminat membuatkan saya gembira dan lupa tentang penyakit.

"Baru-baru ini hampir 50 peminat datang untuk bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada saya untuk terus berjuang," tuturnya.

Mengenai anggota Search, Yazit memberitahu tiada wakil daripada kumpulan itu datang melawatnya di hospital namun menganggap perkara itu hak masing-masing.

"Terpulang kepada mereka sama ada hendak datang atau pun tidak, saya tidak boleh paksa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yazit berkata, Aidilfitri pada tahun ini dia berharap dapat pulang ke rumah untuk menyambut perayaan itu bersama isteri, Ramlah Ahmad dan anak-anak mereka.

Malah kata Yazit, dia bercadang untuk bercuti di pulau bersama keluarga bagi menenangkan fikiran selepas lama terlantar di hospital.

"Insya Allah, jika dibenarkan keluar hospital dapatlah berhari raya dengan keluarga di rumah dan ada juga cadangan untuk bercuti di pulau," tambahnya.

Sumber: mStar



         ________________________




No comments: