15 June 2016

PULANG KAMPUNG MINTA RESTU - AMENG SPRING INGIN UBAH JALAN HIDUP



Sebelum memulakan semula kehidupan baharu setelah dibebaskan dari Penjara Kluang semalam, vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, memberitahu yang beliau akan pulang ke kampung halamannya di Terengganu untuk meminta restu daripada Ibu-bapanya.

Ameng berkata yang beliau terlebih dahulu akan pulang ke kampung mertuanya di Melaka untuk menyambut Ramadan sebelum pulang ke Terengganu.





"Dulu saya ke Kuala Lumpur tidak mendapat restu keluarga. Mungkin itu juga punca saya jadi begini. Kali ini saya ingin tebus semula apa yang sudah saya lakukan kepada mereka," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Pembebasan ini Ameng menganggap ia sebagai peluang terakhir yang diberikan kepadanya untuk membetulkan jalan hidup.

"Saya insaf dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan lalu dan bagi saya ini adalah peluang kedua dan terakhir yang Allah berikan supaya saya sedar dan mengubah jalan hidup.






INGIN MELETAKKAN IKLAN ANDA DI SINI?
SIZE 450 x 350 - KLIK UNTUK INFO



"Saya tidak mahu sia-siakan apa yang saya akan lalui selepas ini terutamanya terhadap keluarga dan anak-anak," jelasnya.

Selain itu, Ameng berkata ketika berada di dalam penjara, dia mempunyai 30 buah lagu yang digubah. Katanya, dia berhasrat untuk merakamkan lagu-lagu itu bersama tiga orang anaknya (termasuk anak perkahwinan terdahulu).

"Sepanjang dalam penjara saya ada buat 30 buah lagu dan tiga buah lagu sesuai dengan anak-anak saya.

"Saya berhasrat untuk rakamkan bersama anak-anak jika ada pihak yang sudi menaja kos penerbitannya," katanya.



Sementara itu, Ameng bersyukur, jadual untuk memenuhi undangan persembahan sudah penuh sehingga penghujung tahun ini.

"Insya-Allah konsert Tiga Suara juga akan berlangsung pada bulan September ini bersama rakan-rakan artis lain," tuturnya.

Dalam pada itu, ditanya apakah perkara paling dirindui, Ameng berkata, selain keluarga dia juga rindu untuk membuat persembahan pentas, berpakaian seperti orang biasa dan menikmati makanan yang disukai.

Pembebasan semalam Ameng disambut isterinya, Sabariah Zakaria, 46, dan anak mereka, Wan Amar Haikal, 9, yang menanti di hadapan pintu tersebut.












Sumber: mStar-



         ________________________





No comments: