28 July 2016

REDA TERUS DIUJI - NORMALA OMAR TAK SANGKA DIRINYA & SUAMI SAKIT SAMA-SAMA



Pelakon veteran, Datin Normala Omar, 58, reda dengan ketentuan Allah terhadap keadaan kesihatan dirinya dan suami, Datuk Zulkifli Zain, 70, yang semakin merosot ketika ini.

Pada Ramadan lalu, kemalangan menimpa Normala apabila beliau patah kaki kiri kerana terjauh dari katil sehingga menyebabkan dia tidak boleh bergerak untuk menjaga suami yang diserang penyakit angin ahmar yang membuatkannya lumpuh separuh badan.

Pada 18 April lalu, suaminya yang juga menderita penyakit paru-paru berair itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila terbabit sekali lagi mendapat serangan jantung.





"Saya terima apa yang berlaku ini sebagai dugaan dan ujian buat kami sekeluarga. Saya tidak sedih kerana sedar ada insan yang lebih teruk dugaannya daripada apa saya dan suami hadapi ini. Saya bersyukur sekurang-kurangnya kami masih diberi peluang untuk hidup bersama dan saling memberi kekuatan untuk pulih," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Dalam pada itu, Normala berkata, gelaran pasangan romantik yang diberikan kepada mereka benar-benar memberi pengertian paling mendalam kepada hubungan yang dibina lebih 40 tahun lalu.

"Ramai yang kata kami pasangan paling romantik dan sehati sejiwa, tetapi tidak sangka sampai sakit pun sama-sama malah pergi dapat rawatan di hospital pun sama-sama. Kaki saya patah sebelah kiri dan kaki dia lumpuh sebelah kiri juga. Pada saya ini adalah kerana kasih sayang kami ikhlas antara satu sama lain," tuturnya.



Pasangan ini kini berkerusi roda dan bergantung harap pada anak untuk bergerak. Masih memerlukan rawatan susulan, kedua-duanya kini tinggal di rumah anak perempuan mereka, Norzizi Zulkifli.

Norzizi berkata, beliau baharu saja menamatkan pengajian selama tiga tahun di Australia apabila dimaklumkan mengenai penyakit dialami bapanya.

"Kedua-duanya memerlukan anak di sisi kerana mereka langsung tidak boleh berjalan. Mereka juga masih menjalani rawatan susulan, termasuk fisioterapi.

--- IKLAN ---
(dijamin oleh myartis sebagai 'good seller' - pesanan pos laju pasti dihantar)



"Jadi, walaupun bekerja, kami adik-beradik akan tetap menjaga mereka berdua. Kami juga mempunyai jadual giliran memandangkan tahap kesihatan mereka tidak menentu," jelas Norzizi

Sementara itu, bercakap mengenai keadaannya, Normala berkata, dia kini sedang giat menjalani rawatan fisoterapi dan dijangka dapat kembali berjalan dalam tempoh enam bulan.

"Kaki kiri saya patah dan kini saya sedang menjalani fisoterapi dan doktor beritahu dalam masa tiga bulan saya boleh bertapak. Untuk kembali berjalan Insya-Allah dalam tempoh enam bulan akan pulih," jelasnya.



Menyelami nasib pasangan pelakon terbabit, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban pasangan itu yang dalam keadaan tidak berdaya buat masa ini.

Jelas Freddie lagi, perhatian wajar diberikan memandangkan Normala dan Zulkifli merupakan artis veteran yang banyak memberi sumbangan kepada industri seni tanah air.

"Karyawan sentiasa bersedia jika mereka memerlukan sebarang pertolongan kerana pasangan itu antara yang banyak memberi sumbangan kepada industri seni tempatan.Kita tidak boleh melupakan mereka yang kini berada dalam keadaan kurang berdaya dan sama-sama berdoa agar pasangan sehati sejiwa ini dapat kembali pulih seperti biasa," katanya.



Pada kunjungan itu juga, Freddie turut menyampaikan sumbangan kepada pasangan itu bagi meringankan beban suami-isteri itu.

Zulkifli popular menerusi filem Sayang Anakku Sayang pada 1981. Filem lain lakonannya adalah Penentuan (1982), Kecil-Kecil Cili Api (1996), Anak Mami Kembali (2005) dan Cicakman (2006).

Normala pula sebelum ini muncul dalam pelbagai drama dan sering digandingkan dengan Zulkifli sebagai suami isteri.

Pelakon ini juga membintangi beberapa filem seperti Sesejuk Air Mata Ibu (1981), Serampang Tiga (1981), Kelisa (1992), Cinta Fotokopi (2005) dan Potret Mistik (2005). Beliau turut bergelar penyanyi pada dekad 80-an dan popular dengan lagu Citra Cinta.


Sumber: mStar & Berita Harian



         ________________________





No comments: