27 August 2016

VIDEO MENGAMUK VIRAL: "MEMANG SALAH SAYA, MINTA MAAF" - LAN PET PET



"Saya mahu menasihati orang ramai dan rakan artis untuk tidak sewenang-wenangnya membuat kesalahan jalan raya. Kalau mengetahui ia memang salah sendiri, segeralah meminta maaf," kata Lan Pet Pet selepas video memaparkan dirinya mengamuk dan memarahi anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) apabila keretanya dikunci oleh pihak tersebut menjadi viral sejak kelmarin.

Bagi Lan, bergelar selebriti bukan alasan untuk tidak mematuhi undang-undang yang sudah ditetapkan. Mengakui kesalahannya sendiri dan tidak mahu perkara yang sama berulang lagi, Lan Pet Pet atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad memohon maaf terhadap video viral tersebut.





Lan berkata, apa yang berlaku itu adalah atas kesalahannya sendiri selepas tidak meletakkan kereta di kawasan parkir yang disediakan.

"Itu memang saya dan saya minta maaf. Saya janji takkan buat lagi. Pihak MPSJ sudah menjalankan tugas dan kewajipan mereka. Saya sendiri jadi serba-salah apabila ramai yang menyalahkan penguatkuasa MPSJ apabila video itu menjadi 'viral' semalam (25 Ogos), sedangkan saya sebenarnya yang melakukan kesalahan.

"Saya tidak menyalahkan mereka mengambil tindakan mengunci tayar kereta saya. Walaupun ketika itu isteri saya sedang menunggu dalam kereta lain di belakang kereta saya, ia tetap satu kesalahan," jelasnya.

___________________________________________________
--- IKLAN ---

BERMINAT UNTUK BERIKLAN DI MYARTIS?   KLIK UNTUK INFO
_____________________________________________________


Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di USJ 10, Subang Jaya itu, Lan dilihat bertengkar dengan anggota penguatkuasa selepas mereka mengunci tayar kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux miliknya yang diletakkan di depan sebuah bank.

Video berdurasi kira-kira seminit itu turut memaparkan Lan memarahi individu yang merakamkannya.

Menurut Lan yang juga anggota kumpulan Senario, kejadian itu memberikannya satu pengalaman dan pengajaran baru.



Dalam pada itu, Lan yang sudah menjelaskan kompaun berjumlah RM80 kepada MPSJ terkilan apabila pihak terbabit menyebarkan video berkenaan.

"Saya tak pasti siapa yang merakam video itu. Disebabkan mereka juga perkara ini kecoh dan ramai yang menyalahkan anggota penguatkuasa MPSJ. Pendek kata individu berkenaan cuba mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku.

"Apa pun perkara ini sudah diselesaikan dengan cara baik dan saya pun sudah membayar kompaun. Saya hormat mereka kerana masih boleh dibawa berbincang walaupun selepas saya memarahi mereka," katanya.





ATAU KLIK DISINI UNTUK TONTON VIDEO



Sumber: Harian Metro

         ________________________





No comments: