06 October 2016

SAIDA TARUDDIN SELAMAT NIKAH KALI KEDUA



"Saya sedar, perkara baik seperti mendirikan masjid ini patut dikongsi bersama orang ramai. Bagaimanapun, atas permintaan keluarga termasuk anak, majlis ini diadakan tanpa teman media," demikian kata penyanyi Saida, 40, mengenai majlis nikahnya secara 'tertutup' yang diadakan semalam.

Untuk info, Saida, yang juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim keenam itu selamat bergelar isteri kali kedua dengan pilihan hatinya, Hafiizh Che Mat, 36, di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.





Pernikahan yang diadakan secara sederhana itu cuma dihadiri keluarga dan saudara terdekat kedua-dua pihak termasuk Datuk Siti Nurhaliza.

Difahamkan, lelaki yang menikahi Saida terbabit dalam bidang perkhidmatan pengurusan acara dan produksi. Mereka berdua mula berhubungan rapat sejak empat tahun lalu.

Pada majlis itu, Hafiizh atau lebih dikenali sebagai Apit menyerahkan mas kahwin sebanyak RM80 dan wang hantaran RM10,000.



Manakala Saida atau nama sebenarnya Siti Norsaida Tarudin pula menerima tiga dulang hantaran berbalas lima daripada pihak lelaki.

"Banyak perasaan yang perlu kami jaga. Tambahan pula, ia perkahwinan kedua bagi saya dan suami. Sekali lagi saya dan keluarga memohon maaf di atas kesulitan ini.

"Insya-Allah, setakat ini kami selesaikan dulu majlis pernikahan. Jika diizinkan Tuhan, majlis persandingan akan diadakan kemudian," ujar Saida dipetik sebagai berkata.

Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah.

Manakala Hafiizh pula dianugerahkan dua anak hasil perkahwinan terdahulu.



FOTO KREDIT: Artixmotion : Kuain Ibrahim.




         ________________________





No comments: