06 November 2016

"ARWAH ISTERI WANITA TERBAIK" - JALALUDDIN HASSAN



Pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan, 62, reda dengan pemergian isteri tercinta, Datin Hashimah Mad Ehsan, 64, yang meninggal dunia kira-kira pukul 3 pagi semalam. Beliau menyifatkan arwah isterinya sebagai wanita terbaik yang pernah hadir dalam hidupnya.

Kata Datuk Jalaluddin, sepanjang hampir 40 tahun hidup sebagai suami-isteri, Allahyarham menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dengan baik selain tidak pernah bersangka buruk terhadapnya.





"Dia adalah wanita dan isteri terbaik yang pernah hadir dalam hidup saya dan sukar sebenarnya saya menerima kehilangannya ini.

"Tetapi saya reda dengan ketentuan Allah tambahan pula sejak 40 tahun kami berkahwin, arwah sudah memberikan yang terbaik kepada saya dan keluarga.

"Tidak pernah sekali dia mengabaikan tanggungjawabnya malah dia sentiasa bersangka baik walaupun saya adakalanya memberinya cabaran," kata Datuk Jalaluddin.



Arwah isteri Jalaluddin meninggal dunia apabila mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan saluran jantung di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada Jumaat lalu.

Selain masalah jantung, Allahyarham turut menghidap penyakit kencing manis dan masalah paru-paru berair.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, sejak Ogos lalu, isterinya sering keluar masuk hospital kerana masalah paru-paru berair sebelum dimasukkan ke PPUKM sejak 5 Oktober lalu akibat penyakit jantung.



Katanya lagi, pembedahan membuka saluran jantung tersebut berjalan lancar namun akibat masalah paru-paru berair dan kencing manis ia memberi komplikasi.

"Semuanya berjalan dengan baik pada awalnya malah doktor memberitahu lima saluran jantung dapat dibuka dengan baik. Bagaimanapun dengan pelbagai komplikasi, jantung isteri saya lemah sebelum disahkan meninggal dunia," jelasnya.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, dia berasa sayu namun tenang apabila melihat wajah isterinya dalam keadaan tersenyum dan seperti sedang tidur sebelum dikebumikan semalam.

Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas solat Zohor semalam di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat.

Pasangan itu yang berkahwin pada 1976 mempunyai lapan cahaya mata dan 14 cucu.


Sumber: mStar



         ________________________





No comments: