Tiada hujan tiada ribut, tiba-tiba timbul berita hangat yang mengatakan rumahtangga Diana Danielle dan suaminya, Farid Kamil kini sedang dilanda badai.
Lebih hangat, Diana dikatakan sudah mendapatkan nasihat peguam syariah dan perkara tersebut telah diakui oleh Diana sendiri ketika dihubungi BH.
Kata Diana, beliau hadir ke Mahkamah Syariah pada minggu lalu tetapi enggan menyatakan sebab utama dirinya berbuat demikian.

Spekulasi status perkahwinan Diana yang sebelum ini menghilangkan diri dari dunia seni selepas bernikah dengan pelakon dan pengarah terbabit, mula diperkatakan apabila dilihat kembali aktif dengan menghadiri pelbagai acara hiburan, sejak akhir-akhir ini.
"Perkara itu memang benar, tetapi untuk apa, ia terlalu peribadi untuk dinyatakan," ujarnya dipetik sebagai berkata.
Tambah Diana lagi, lumrah dalam setiap perkahwinan akan ada pasang surutnya. Rumah tangga yang dibina bersama Farid atas dasar cinta pada 3 November 2012 juga tidak terkecuali daripada diuji.

Hasil perkahwinan mereka, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Muhamad, 3, dan Nur Aurora, 1.
"Usia perkahwinan kami masih terlalu muda. Empat tahun berkahwin belum cukup untuk saya dan suami mengenali satu sama lain secara mendalam. Kadang kala, perselisihan yang berlaku menyebabkan saya terlebih emosi," katanya.
Biarpun masih berteka-teki mengenai status rumah tangganya, sumber memaklumkan kemelut perkahwinan pasangan itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Perselisihan yang berpanjangan juga dikatakan mendorong Diana untuk mendapatkan khidmat nasihat peguam syariah bagi meleraikan kemelut rumah tangganya.
Sumber: Berita Harian
Foto: Diana Danielle IG
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment