24 December 2016

NEELOFA SAMBUT TAHUN 2017 DI TANAH SUCI



"Sebelum ini, saya menunaikan ibadah umrah bersama ibu, ayah dan adik-beradik. Tetapi kali ini berbeza sedikit kerana ditemani dengan sepupu dan saudara-mara yang lain," kata Neelofa yang bakal ditemani dengan sepupu, ibu saudara dan datuk kesayangannya bagi mengubati kerinduannya terhadap Kota Mekah menerusi ziarah kali kedua untuk tahun ini bagi mengerjakan umrah.

Menurut Neelofa, keputusan untuk menunaikan umrah berlaku sekitar dua bulan selepas dia pulang daripada mengerjakan haji pada hujung September lalu. Kini berstatus hajah, Neelofa menjelaskan bahawa keinginannya untuk kembali ke Mekah berlaku dalam situasi yang tidak dirancang.





"Sewaktu pulang ke Kelantan baru-baru ini, sepupu saya memberitahu yang dia mahu ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah. Ketika itu, saya terus menyatakan hasrat untuk turut serta secara spontan. Alhamdulillah, keinginan saya itu dipermudahkan Allah," kongsi Neelofa yang sentiasa merindukan Mekah.

Dijadualkan terbang ke Mekah pada 27 Disember ini dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada 7 Januari 2017, bagi Neelofa, ibadah umrah tersebut sebagai pembuka tirai baharu buatnya.

"Seperti niat saya ke Mekah yang tidak dirancang, ibadah umrah kali ini juga jatuh pada sambutan tahun baharu 2017. Peluang tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk menyaksikan sendiri bagaimana umat Islam di sana menghargai tahun baharu," ujarnya dipetik sebagai berkata.



Diminta berkongsi perancangan tahun baharunya, Neelofa berkata, selain memberi keutamaan terhadap bidang lakonan, ada beberapa projek yang bakal diusahakan sepanjang 2017, termasuklah fokusnya terhadap bidang akademik.

"Insya-Allah, saya merancang untuk mengikuti kursus jangka pendek pengajian bidang nutrisi di New York, Amerika Syarikat. Jika tidak berkesempatan, saya mungkin akan mengikuti kursus dalam bidang kewangan.

"Ia tidak melibatkan sebarang cabang bisnes untuk masa depan, tetapi saya mahu belajar sesuatu yang baharu. Jadi, sementara masih solo, saya boleh pergi bila-bila masa sahaja," jelasnya sambil tertawa kecil.


Sumber: Kosmo



         ________________________





No comments: