17 December 2016

SEMANGAT KUAT - DAHLAN ZAINUDDIN KINI SEMAKIN PULIH



"Alhamdulillah keadaannya menunjukkan perubahan positif walaupun ia agak perlahan kerana faktor usia," kata Datin Effa Rizan, isteri kepada penyanyi era 70-an, Datuk Dahlan Zainuddin mengenai keadaan kesihatan suaminya yang semakin pulih selepas diserang penyakit angin ahmar sejak awal Jun lalu.

Menurut Datin Effa, suaminya itu kini giat menjalani rawatan fisioterapi dua kali seminggu sejak dibenarkan keluar daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Oktober lalu.





"Buat masa ini suami saya dalam proses pemulihan dan perlu melakukan rawatan fisioterapi dua kali seminggu," katanya.

Biduan berusia 75 tahun diserang angin ahmar pada 29 Jun lalu ketika berada di Perlis bagi menghadiri majlis buka puasa bersama anak yatim.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Kisah Seorang Biduan' itu kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 22 Julai lalu apabila keadaan kesihatannya kembali merosot.

Bagaimanapun keadaan Dahlan beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital berkenaan pada Oktober lalu.




--- IKLAN ---




Dalam pada itu, Datin Effa berkata, walaupun kesihatan suaminya merosot, namun Dahlan tetap menunjukkan semangat untuk kembali pulih seperti sediakala.

Malah kunjungan daripada rakan-rakan dan keluarga membuatkan dia sentiasa positif selepas mendapat kata-kata semangat daripada mereka.

"Semangat yang ditunjukkan suami seolah-olah dia tidak sakit sehingga kadang-kadang saya berpesan kepadanya agar tidak terlalu memaksa diri.

"Kunjungan rakan-rakan dan keluarga juga membuatkan dia sentiasa positif untuk meneruskan proses pemulihan," katanya.


Sumber & foto: mStar



         ________________________





No comments: