18 January 2017

"MAHU SUMBANG WANG KEMENANGAN KEPADA RAKYAT SYRIA" - JOHAN



"Saya akan menyumbang sebahagian wang kemenangan dalam program Super Spontan Superstar 2016 kepada mangsa perang Syria," demikian kata pelawak dan penyampai radio, Johan mengenai hasratnya itu.

Akui artis pelbagai bakat ini, penderitaan dihadapi pelarian dari negara bergolak berkenaan, khususnya kanak-kanak, amat menyentuh hatinya membuatkan beliau menyalurkan sebahagian daripada wang kemenangan RM100,000 program itu, Oktober lalu, kepada mereka.

Klik untuk gambar besar




Suami kepada pelakon Ozlynn Watie itu percaya, pemberian yang ikhlas juga akan membuatkan rezeki seseorang bertambah.

"Buat masa ini, wang kemenangan berkenaan belum lagi saya terima, tetapi itulah niat saya jika ia diperoleh dalam masa terdekat," kata Johan.

Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 32, turut berkata, beliau akan menggunakan saluran betul supaya sumbangan dihulurkan benar-benar sampai ke tangan pihak memerlukan.



Selain itu, penyampai Era FM ini juga memasang impian untuk membina masjid di kawasan yang memerlukan.

"Sejak dulu lagi saya membayangkan, alangkah bahagianya jika saya memiliki duit yang banyak kerana niat saya adalah untuk mencari keberkatan hidup.

"Begitupun, hanya orang yang kaya mampu membina sebuah masjid. Namun, saya tidak bermaksud orang miskin tak boleh beramal sama kerana walaupun sedikit sumbangan kita, ia tetap diterima Allah," tuturnya.


Sumber: Berita Harian



         ________________________





No comments: