23 February 2017

PAKAI PAKAIAN 'NGEPAN INDU' - KUMPULAN ZERO DITUNTUT MOHON MAAF



Tindakan kumpulan pelawak Zero yang memakai pakaian tradisional wanita Iban yang dikenali sebagai 'Ngepan Indu' ketika membuat persembahan dalam episod pertama Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) yang bermula bersiaran pada Jumaat lalu (17 Februari 2017) itu telah diselar oleh Dayak di Sarawak.

Bukan itu sahaja, beberapa laporan polis telah dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan banyak NGO berpengaruh meminta penganjur serta kumpulan itu membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai perkara tersebut.

Zero, juara Maharaja Lawak Mega 2014 terdiri daripada tiga adik-beradik dari Sabah yang diketuai oleh abang sulung Mohamad Syaiful Doli Sharif bersama-sama Sharif Kadir dan Sharid Kunal.

Klik untuk gambar besar




Menurut mereka, tindakan Syaiful Zero yang mengenakan pakaian tersebut semasa membuat persembahan bersama dua lagi ahli kumpulannya seolah-olah mempersendakan pakaian tradisional berkenaan.

Malah, Presiden Persatuan Dayak Miri (DAM), Serawa Budol, menyifatkan komedi yang dipersembahkan oleh Zero itu menghina masyarakat Iban.

"Bukan sahaja mereka menyinggung perasaan komuniti Iban, pertunjukan komedi itu telah menghina dan mengejek budaya kerana jantina lain tidak dibenarkan memakai pakaian tradisional itu.



"Kami mahu penganjur dan anggota kumpulan berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka atas kejadian itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi," kata Presiden Persatuan Dayak Miri (DAM), Serawa Budol yang turut menambah pakaian itu adalah suci dalam masyarakat Iban

Selain DAM, NGO lain yang mengutuk persembahan Zero ialah Kumpulan Pemikir Dayak (DDTG), Pemuda Dayak Sarawak cawangan Limbang, Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) dan Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Dayak Kuching yang telah menyuarakan kritikan mereka secara terbuka.

Berdasarkan laporan media tempatan, tiga laporan polis dibuat oleh tiga NGO di Balai Polis Pusat Miri sejak Isnin lepas.

Mungkin kumpulan Zero juga tidak mempunyai niat untuk menghina pakaian tradisi masyarakat Iban itu. Apa-apa pun, kadang-kadang mungkin ada yang tersinggung dengan tindakan kita tanpa disedari. Permohonan maaf secara terbuka adalah tindakan yang terbaik buat masa ini agar isu ini tidak berpanjangan.


Sumber: Sinar Harian & BERNAMA



         ________________________





No comments: