05 May 2017

TRAUMA PUTUS TUNANG - DAZRIN KAMARUDIN PILIH NIKAH TERUS



Hanya tinggal sehari lagi pelakon Dazrin Kamarudin, 29, bakal bertukar status menjadi suami kepada kekasihnya yang merupakan seorang ketua pramugari, Nur Fazulin Razali, 33.

Pasangan tersebut bakal diijabkabulkan dalam sebuah majlis pernikahan esok hari (6 Mei) di Hotel Avillion Legacy, Melaka.

Dazrin dan bakal isterinya itu memilih mengadakan majlis resepsi pertama di Hotel Equatorial Melaka pada 22 Julai. Resepsi kedua pada 23 Julai dijadualkan berlangsung di lokasi pernikahan mereka.





Dalam majlis yang akan diadakan itu, Dazrin memberi mas kahwin sebanyak RM500 kepada Fazulin. Manakala wang hantarannya pula dirahsiakan.

Ditanya mengenai perasaannya apabila bakal menjadi seorang suami dalam waktu terdekat ini, Dazrin mengakui bahawa perasaannya bercampur baur menghitung detik hari bahagianya.

Tanpa berselindung, pelakon yang popular dengan drama rantaian 'Adam & Hawa' itu memberitahu yang dia memilih untuk terus melangsungkan pernikahan tanpa majlis pertunangan kerana masih trauma dengan kejadian putus tunang sebelum ini.

Klik untuk gambar besar


"Memang benar saya tidak nafikan perkara itu. Saya masih trauma dengan peristiwa lampau, sebab itu terus sahaja melangsung pernikahan tanpa mengadakan majlis pertunangan.

"Jika difikirkan kembali, langkah itu lebih tepat kerana tidak membazir wang dan masa. Andai sudah bertemu dengan orang yang tepat dan sudah bersedia, lebih baik saya terus berkahwin.

"Selepas bersetuju untuk berkahwin, maknanya saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih berat. Jadi ya, saya sudah bersedia.



"Saya mengaku cukup berdebar. Ada juga rasa seperti tidak percaya saya sudah mahu berkahwin. Bagaimanapun, saya yakin inilah langkah terbesar dan terbaik yang pernah diambil dalam hidup," ujarnya.

Dalam pada itu, Dazrin berkata kesibukkan dirinya dan bakal isteri itu membuatkan mereka menyerahkan segala persiapan perkahwinan kepada ahli keluarga. Majlis perkahwinan pasangan ini akan diadakan sepenuhnya di negeri Melaka.

"Sebenarnya, seluruh persiapan majlis ini dilakukan oleh ahli keluarga saya. Jadi, saya memberi kepercayaan penuh terhadap mereka.



"Ini kerana kesibukan saya sebagai pelakon dan bakal isteri seorang ketua pramugari yang secara tidak langsung membataskan kami berdua untuk melakukan persiapan.

"Melaka menjadi pilihan kerana keluarga saya menetap di sana dan lebih mudah semuanya dilakukan di sebuah negeri sahaja.

"Pihak perempuan berasal dari Kuala Lumpur, tetapi ia bukan masalah kerana jaraknya tidak begitu jauh," jelasnya.



Dalam masa sama, kata Dazrin, dia tiada sebarang masalah mengenai usia bakal isteri yang lebih tua daripadanya.

"Perbezaan usia itu iaitu bakal isteri lebih tua daripada saya, ia hanyalah satu angka. Saya tidak memandang usia, sebaliknya melihat tentang keserasian yang wujud di antara kami berdua.

"Dia seorang wanita yang boleh dibawa berbincang, bijak dalam menguruskan masa dan paling penting sesuai dengan saya.

Mengenai perkembangan terkini, Dazrin berkata, empat hari selepas bernikah, dia akan terlibat dengan penggambaran drama 20 episod di bawah Skop Production.

"Empat hari selepas bernikah iaitu pada 10 Mei, saya sudah terlibat dengan penggambaran drama 20 episod di bawah Skop Production.

"Sebenarnya semakin dekat tarikh pernikahan, semakin banyak tawaran lakonan yang datang dan ada terpaksa ditolak. Saya anggap ia rezeki perkahwinan.

"Cuma saya tidak bercuti lama kerana sebagai pelakon, jika berehat panjang siapa pula hendak bagi wang. Barangkali selepas majlis persandingan selesai kelak, barulah saya akan bercuti.

Selepas berkahwin, Dazrin memberitahu yang dia tidak menghalang jika bakal isterinya itu mahu terus bekerja sebagai pramugari.

"Jika itu kehendaknya saya tidak akan melarang. Lagipun tugas dia cukup mulia iaitu membawa jemaah mengerjakan haji dan umrah. Saya cuma harapkan peminat dapat mendoakan kebahagiaan kami berdua," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo




         ________________________





No comments: