02 October 2017

AL-FATIHAH - PELAKON 70-AN, NOZIE NANI KEMBALI KE RAHMATULLAH


Takziah kami ucapkan kepada keluarga pelakon popular era 1970-an, Nozie Nani atau nama sebenarnya, Nozia Nani, 66, atas pemergiannya malam semalam.





Difahamkan, Nozie meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit di kediamannya di Batu Pahat, Johor pada jam 8.30 malam.

Nozie menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung dan terbaharu, disahkan menghidap kanser rahim tahap pertama, bulan lalu.

Pada 2013, Nozie menjalani pembedahan memotong kaki kirinya akibat penyakit kencing manis.

Anak bongsunya, Nabila Najat Mohd Nazamuddin, 32, memberitahu, arwah ibunya menghembuskan nafas terakhir di sisi abang, Nizad Norman, 34, dan menantu.

"Kami amat terkejut dengan pemergiannya. Sebelum itu, arwah meminta abang membuatkannya air susu kambing. Arwah masih boleh bercakap.

"Abang mahu memanggil ambulans atau menghantarnya ke hospital apabila melihatkan keadaannya tidak sihat tetapi arwah menolak.

"Secara tiba-tiba, arwah sesak nafas dan terus menarik nafas terakhir. Saya yang berada di tingkat atas rumah pun tidak sempat melihatnya buat kali terakhir. Apabila ambulans tiba, arwah disahkan sudah tiada," katanya.

Selain Nabila dan Nizad Norman, Nozie memiliki seorang lagi anak iaitu Nizad Nazril, 35. Suaminya, Allahyarham Mohd Nazamuddin Husain meninggal dunia pada 2003.

Allahyarham pertama kali diperkenalkan menerusi filem 'Permintaan Terakhir' pada 1973 bergandingan dengan Uji Rashid.

Arwah juga membintangi 'Jiwa Remaja' dan 'Cinta Dan Lagu', semuanya diarahkan Allahyarham Datuk Jamil Sulong.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: