27 October 2017

BEBASKAN HANA ELITE DARI MUFLIS - WATIE DIPERINTAH BAYAR RM102,490.05


Bagi membersihkan status rakan kumpulannya, Hana atau nama sebenar Norhanasafiza Mat Adnan, 39, yang diisytiharkan muflis sejak 2013, bekas anggota kumpulan Elite, Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 41, diperintah membayar RM102,490.05 kepada Jabatan Insolvensi Malaysia.





Menerusi laporan BERNAMA, perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Rasyihah Ghazali di dalam kamarnya semalam dengan dihadiri Hana bersama-sama peguamnya Samir Zainal manakala Watie tidak diwakili peguam.

Semuanya bermula apabila Hana mendakwa beliau telah membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 untuk membeli kereta itu sekitar September 2005 bagi pihak Watie kerana pelakon itu tidak layak membuat pinjaman.

Hana selaku plaintif mendakwa selepas Watie memiliki kenderaan itu, beliau gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk tidak membuat bayaran ansuran sejak September 2010 kepada pihak bank yang menyebabkan Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2013.

Samir ketika ditemui pemberita berkata mahkamah memerintahkan Watie membayar sebanyak RM99,500 sebagai bayaran pertama kepada Ketua Pengarah Jabatan berkenaan sebelum atau pada 30 November ini.

Klik untuk gambar besar


Samir berkata bayaran kepada Jabatan Insolvensi itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan hutang Watie sebanyak RM707,351.83 yang perlu dibayar kepada Hana.

"Watie perlu membayar RM102,490.05 kepada Jabatan Insolvensi sehinggalah jabatan berkenaan mengeluarkan satu surat pembatalan kebankrapan bagi mengesahkan Hana bebas dari status muflis.

"Sehubungan itu, mahkamah turut memerintahkan Watie membayar RM2,500 kepada rakannya itu pada 25 haribulan setiap bulan bermula Januari tahun depan sehinggalah hutang berkenaan selesai dilunaskan," katanya.

Hana yang memenang kes saman terhadap Watie pada 10 Mac 2015, memfailkan saman penghutang penghakiman pada 18 Mei lepas setelah pelakon itu gagal membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83 yang ditetapkan kepadanya sehingga kini.



Dalam saman penghutang itu, Hana turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap sekiranya Watie gagal hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan berhubung kegagalannya membayar hutang itu.

Sementara itu, Hana memberitahu yang beliau berasa lega selepas penantiannya selama ini berakhir.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan akhirnya saya dapat menjalani kehidupan saya seperti biasa. Kini, saya telah bebas dan dapat berjumpa dua anak, Aaron Danial Mann, 16, dan Alayna Daniella Mann, 15, yang kini berada di London bersama bekas suami," tuturnya.

Bagaimanapun, pihak media gagal mendapatkan sebarang komen daripada Watie yang hadir pada prosiding semalam dengan ditemani suaminya, Zulkifli Daud atau lebih dikenali sebagai Joey, selepas mereka bergegas meninggalkan mahkamah sebelum dilihat menaiki sebuah kenderaan.


www.myartis.com / Sumber: BERNAMA


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: