22 October 2017

BUANG APENDIKS, PUNCA JIHAN RAHSIAKAN KEHAMILANNYA


"Saya tak nafikan ramai yang bertanya dan mempertikaikan kenapa saya begitu berahsia pada awal kehamilan. Sebenarnya pembedahan itu juga memberi risiko pada kandungan.





"Atas sebab itu, saya tak yakin untuk berkongsi dan terpaksa menutup mulut sehingga memasuki empat bulan," jelas pengacara, pelakon dan pelawak, Jihan Muse yang menjelaskan sebab dirinya merahsiakan kehamilannya ketika awal kandungan.

Untuk makluman, Jihan perlu menjalani pembedahan kecil tersebut selepas disahkan mengalami apendiks ketika bulan ketiga kehamilan.

Kebanyakan selebriti memilih untuk berehat panjang sebaik disahkan hamil, lebih-lebih lagi membabitkan kehamilan pertama. Namun kebiasaan itu tidak dilakukan oleh isteri kepada pelakon Ungku Hariz ini.

Klik untuk gambar besar


"Ketika trimester pertama, saya alahan teruk hingga terpaksa batalkan beberapa kerja dan projek. Alhamdulillah, sekarang dan masuk enam bulan dan saya juga bebas alahan.

"Lagipun tak naklah duduk rumah kembangkan badan," kata Jihan yang sudah kembali bekerja dan memenuhi undangan sejak kandungannya empat bulan.

Artis berusia 34 tahun ini juga berkata, dia sudah puas berehat sejak tiga bulan pertama kehamilan manakala suaminya juga tidak menghalang untuk kembali bekerja.

Sementara itu, Jihan bersama Fahrin Ahmad dan Shuk Balas bakal mengacarakan malam kemuncak Anugerah Skrin 2017 (ASK2017) yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 3 November depan.



"Apa yang penting ukur baju di badan sendiri, macam aktiviti lasak, tak payahlah lakukan. Begitu juga dengan komitmen untuk majlis besar macam ASK2017.

"Saya kira produksi pun sedia maklum keadaan saya dan tentulah mereka dah sediakan apa yang patut seperti kemudahan toilet berdekatan.

"Lagipun ini merupakan job pertama saya dengan TV3 untuk majlis besar seperti ini, jadi saya kira ini rezeki yang tak patut saya tolak.



"Ia juga sebagai bukti saya bebas bekerja dengan mana-mana stesen TV, walaupun selama ini orang ingat saya terikat di bawah Astro," ujarnya yang baru pulang dari negara matahari terbit bagi penggambaran musim ketiga program Jejak Jepun Jihan.

Dalam pada itu, Jihan memberitahu yang dia bercadang membuat persiapan dan berehat selepas tamat program Gegar Vaganza 4 Disember depan kerana tiidak mengalami sebarang masalah.

Berkongsi pengalaman hamil kali pertama, kata Jihan, dia tidak mengidam sebarang makanan seperti kebanyakan wanita hamil namun banyak merujuk perkara yang kurang jelas kepada doktor.

"Setiap kali nak buat aktiviti atau nak makan sesuatu, saya akan tanya doktor dulu sama ada boleh atau tidak. Selain itu, juga banyakkan membaca untuk menambah pengetahuan apa yang boleh dan tidak sepanjang kehamilan.



"Perasaan ketika hamil ini memang tak boleh dijelaskan dan saya rasa seronok kerana apa sahaja yang saya buat kini, saya boleh share dan bercakap dengannya, walaupun anak saya masih di dalam perut," tuturnya yang dijangka bersalin Januari depan.

Pada masa sama, Jihan berkata, dia juga belum membuat persiapan dan tidak kisah soal jantina anak yang bakal dilahirkan kelak.

"Yang penting, cukup sifat dan sihat itu sudah memadai untuk saya," ujarnya yang turut mengamalkan makanan sunnah dari awal kehamilannya.






www.myartis.com / Sumber: Media Hiburan


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: