28 October 2017

PIKAT HATI JURI ASIA'S GOT TALENT - MAFARIKHA GEMBIRA WAKILI MALAYSIA


Tampil membawakan lagu 'Hero' nyanyian asal Mariah Carey dalam Asia's Got Talent, naib juara program realiti, 'Vokal... Bukan Sekadar Rupa' iaitu Mafarikha Md Akhi, 25, telah menerima tepukan gemuruh penonton dan tiga juri memberikan 'standing ovation'.





Walaupun tiga juri pertandingan iaitu David Foster, Anggun dan Jay Park memberikan penghormatan sebaik dirinya menamatkan persembahannya, Mafarikha mengakui terlalu gementar ketika beraksi pada persaingan awal pertandingan itu.

Mafarikha yang mencari ruang dalam industri hiburan sejak enam tahun lalu, terlebih awal memohon maaf apabila terpaksa merahsiakan penyertaannya dalam musim kedua pertandingan itu, biarpun sering ditanya mengenainya.

"Memang betul saya menyertai pertandingan Asia's Got Talent. Sekian lama tidak beraksi di pentas besar, saya agak gementar hingga ramai yang menegur wajah saya kelihatan begitu pucat sebelum membuat persembahan," kata Mafarikha menerusi paparan yang dimuatnaik di laman Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Mafarikha berkata yang hatinya tersentuh apabila ditanya produksi apa yang berlaku kepadanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini hingga menyebabkan kelibatnya seperti hilang dari radar industri hiburan.

Klik untuk gambar besar


"Terlalu banyak dugaan dalam kerjaya nyanyian saya dan secara jujur, saya penat diajukan soalan yang sama. Di sebalik semua itu, saya gembira dapat mewakili Malaysia untuk musim kedua pertandingan itu.

"Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk mereka yang tidak pernah jemu menyokong sejak enam tahun lalu," ujarnya yang pernah menghasilkan lima single termasuk 'Jujur Saja Sayang'.

Pada masa sama, Mafarikha yang menamatkan zaman gadisnya pada Julai tahun lalu memberitahu bahawa penyertaannya dalam program realiti terbabit juga memberi isyarat kesediaannya untuk kembali mewarnai industri hiburan.

Asia's Got Talent ditayangkan di 27 negara di rantau Asia. Nama 24 peserta yang bakal meneruskan cabaran pada peringkat separuh akhir akan diumumkan sebaik episod akhir uji bakat ditayangkan pada 9 November ini.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: