22 October 2017

REZEKI: SYAMEL AKAN KE CHINA - MARSHA BAKAL TUNAI UMRAH


Kita semua mengetahui bahawa Syamel dan Marsha mara ke peringkat akhir AF Megastar yang akan berlangsung pada hari ini (22 Oktober 2017).





Pada malam final tersebut, Marsha akan menyanyikan lagu pilihannya 'Pilihlah Aku' dan lagu baharu 'Hilang'.

Manakala bagi Syamel pula, dia akan menyampaikan satu lagu lama 'Seniman Menangis' dan satu lagu ciptaannya sendiri 'Biar Cinta'.

"Saya baru keluarkan lagu baharu yang berjudul Hilang pada minggu lepas. Saya akan menyanyikan lagu ini buat pertama kalinya pada malam final nanti.

"Diharapkan lagu ini berjaya mendapat tempat di hati pendengar," ujar Marsha yang merasa berdebar untuk buat persembahan pada malam ini.

Klik untuk gambar besar


"Final malam ini saya akan menyanyikan dua buah lagu. Satu lagu baharu yang dicipta sepenuhnya oleh saya dan satu lagu lagi adalah lagu Datuk Jamal Abdillah yang berjudul Seniman Menangis," kata Syamel pula.

Mengenai perkembangan lain, dua penyanyi berbakat besar ini telah dipilih untuk menyanyikan lagu 'Anti Buli' bagi kempen yang dijalankan di Astro.

"Saya dipelawa oleh komposer Edry Abdul Halim untuk menyanyikan lagu Anti Buli ciptaannya sempena kempen Anti Buli Astro.

"Bila dipelawa, ia ibarat mimpi menjadi nyata kerana sebelum ini saya pernah berhasrat untuk terlibat dalam kempen seperti ini. Bukan apa, sekarang terlalu banyak kes buli yang berlaku.



"Diharapkan dengan penglibatan saya menerusi lagu ini, ia sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada generasi muda agar tidak terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat seperti itu," tutur Marsha.

"Selama menjadi artis, inilah detik bermakna pada diri saya apabila dapat melibatkan diri dalam kempen sebegini.

"Setidak-tidaknya saya dapat mewakili artis dalam memberi kesedaran kepada golongan muda bahawa pentingnya bersikap anti buli," kata Syamel.

Dalam masa sama, Marsha berkata yang ia merupakan kolaborasi pertamanya bersama Syamel.



"Ya, ini kolaborasi pertama kami. Sebelum ini saya tidak pernah membuat sebarang persembahan bersama Syamel.

"Malah, saya bertemu dengannya juga di atas pentas AF Megastar 2017. Walaupun dia masih muda tetapi saya nampak banyak potensi dalam diri dia," tutur Marsha.

Selain kempen 'Anti Buli' dan AF Megastar 2017, dua figura ini ditanya apakah lagi projek seni yang akan dilakukan mereka selepas ini.

Syamel memberitahu yang dia akan ke China bagi mewakili Malaysia dalam pertandingan Festival Abu TV Song 2017.



"Alhamdulillah, saya terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan Festival Abu TV Song 2017 yang akan diadakan pada 1 November ini di Chengdu, China.

"Saya akan bersaing dengan 13 lagi artis terbaik dari 13 buah negara. Saya akan nyanyikan lagu 'Lebih Sempurna' dan akan belajar cakap Cina untuk menarik perhatian di negara itu," ujar Syamel.

Manakala Marsha pula memaklumkan bahawa dia dan suaminya akan ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah.

Kata Marsha, ketika di sana nanti, dia akan berdoa agar dikurniakan rezeki anak yang telah lama dinantikan.

"Insya-Allah, lagi dua minggu saya akan mengerjakan umrah bersama suami. Saya teringin mendapat cahaya mata, tambahan pula melihat ramai rakan sebaya yang sudah ada anak.

"Mudah-mudahan, selepas mengerjakan umrah dan berdoa di sana, saya dikurniakan rezeki anak," jelas Marsha.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: