04 November 2017

OMAR MANAN MENINGGAL DUNIA - ISTERI TERKILAN SENIMAN TAK PEDULI


Takziah kami ucapkan kepada keluarga dramatis dan bekas penerbit majalah iaitu Omar Sudi atau lebih dikenali sebagai Omar Manan, 70, yang menghembuskan nafas terakhir semalam.





Difahamkan, Allahyarham Omar meninggal dunia akibat komplikasi penyakit diabetis di Hospital Selayang kira-kira pukul 12.40 pagi Jumaat.

Anak sulungnya, Nilly Wahida Omar, 46, berkata, bapanya pada mulanya dimasukkan ke hospital itu pada 14 Mac lalu akibat demam dan sakit perut namun penyakitnya bertambah serius apabila pihak hospital mengesan kuman dalam badan.

"Keadaan bapa saya bertambah teruk kerana dia ada kencing manis dan rawatan yang dibuat menyebabkan ia sukar untuk pulih sehinggalah kondisi kesihatannya menjadi semakin lemah," katanya.

Jelas Nilly, selama mendapatkan rawatan sejak lapan bulan lalu, bapanya hanya memberi reaksi yang minimum kepada keluarga sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir.

Klik untuk gambar besar
Fauziah bersama anak ketiga, Fariz Adil dan cucu


Dalam pada itu, isterinya, Fauziah Rauf, 69, terkilan dengan Persatuan Seniman Malaysia yang tidak mengambil tahu mengenai kebajikan suaminya sepanjang terlantar di hospital.

Lebih-lebih lagi, Allahyarham Omar merupakan pengasas persatuan berkenaan yang ditubuhkan pada awal 80-an.

"Tak ada pun wakil Seniman yang datang berkunjung sepanjang arwah terlantar di hospital.

"Bukan nak menagih simpati, cuma itu tidak sepatutnya berlaku kerana persatuan tersebut kena ambil tahu kebajikan anak seni.

Omar Manan bersama isteri, Fauziah Rauf ketika di kota London pada awal tahun 2000


"Bagaimanapun, kami sekeluarga ingin berterima kasih kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang prihatin dengan kesihatan suami," ujarnya.

Selain seorang balu, Allahyarham meninggalkan empat orang anak berusia 38 hingga 46 tahun serta 13 orang cucu.

Jenazah Allahyarham Omar telah disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Selayang Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru selepas solat Jumaat.

Tambah Fauziah, sebelum suaminya diserang penyakit awal Mac lalu, arwah masih mengambil tahu mengenai persatuan tersebut.

"Walaupun arwah sudah tiada jawatan dalam Seniman tapi dia masih mengambil berat mengenai isu semasa berkaitan industri hiburan.

"Ada sahaja idea baru yang muncul, sampai saya cakap... sudahlah, bagi orang muda yang mengelola persatuan tersebut. Kita ni dah tua, tak perlu campur hal orang muda," ceritanya.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: