03 December 2017

DICEMUH & DICACI - IZREEN NAFI PERAMPAS, HANYA TUMPANG KASIH


"Saya kecewa dengan cemuhan yang dilemparkan netizen. Mereka menjatuhkan hukuman tanpa mengetahui cerita sebenar. Saya akur, pilihan menjadi isteri kedua menuntut pengorbanan besar.





"Saya sedia beralah dan bertimbang rasa kerana sedar kedudukan diri," kata pelakon Izreen Azminda yang mengakui berat baginya berdepan cemuhan masyarakat yang melabelnya sebagai perampas kebahagiaan insan lain.

Sebagai wanita yang pernah melalui kekecewaan dalam kehidupan berumah tangga, Izreen juga tidak rela menghancurkan hati wanita lain namun takdir sudah tertulis apabila terpaksa berkongsi kasih seorang suami.

Kontroversi tentang status perkahwinan Izreen telah menarik perhatian ramai sejak beberapa hari ini selepas isteri pertama kepada lelaki pilihan beliau iaitu Intan Liana Saleh, 32, mendedahkan hal sebenar.

"Saya sekadar menumpang kasih dan tidak pernah sesekali berhasrat merampas serta meruntuhkan kebahagiaan suami dan isteri pertama.

Klik untuk gambar besar


"Saya tidak sekejam itu, malah tidak akan membenarkan suami meninggalkan isteri pertama semata-mata untuk bersama saya," jelasnya yang kur kenyataan itu terpaksa dihadapi apabila memilih hidup bermadu.

Izreen dan Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 29, yang juga pemuzik bebas melangsungkan pernikahan pada 8 Ogos lalu di Petaling Jaya berwalikan bapanya, Mohd Aznam Mohd Noor

Dengan sekali lafaz, bakat yang diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2013 itu sah menjadi isteri pada jam 10 pagi.

"Saya minta maaf dan tidak bermaksud mahu menimbulkan spekulasi mengenai status perkahwinan kami sebelum ini.

"Ramai yang bertanya tetapi saya terpaksa mendiamkan diri kerana menanti masa yang tepat untuk menjelaskan segala-galanya," ujarnya.



Ibu kepada Muhammad Adrian Umar, 4, itu sedar statusnya sebagai isteri kedua dan sentiasa mengingatkan diri supaya tidak menuntut berlebihan.

Izreen juga berharap suaminya tidak sesekali mengabaikan isteri pertama dan dua anak mereka yang berusia 3 tahun dan seorang lagi 11 bulan.

"Saya faham perasaan seorang isteri apabila mengetahui suaminya berkahwin lain. Saya harap suami akan mempertahankan perkahwinan pertamanya kerana saya tidak mahu berlaku perkara tidak diingini berlaku susulan pernikahan kami.

"Alhamdulillah, saya lega apabila mengetahui Intan Liana sudi menerima saya sebagai madunya. Saya berharap kami dapat berkongsi hidup seperti satu keluarga.



"Saya juga bersedia bersemuka dengannya untuk menjalin hubungan baik," tutur anak kelahiran Kangar, Perlis itu.

Mengulas majlis doa selamat yang dijadualkan berlangsung pada 7 Disember ini, Izreen berkata, memadai dengan penjelasan yang diberikan dan mereka tidak berniat untuk memanjangkan lagi isu itu demi menjaga hati dan perasaan pihak lain.

Perkahwinan terbaru Izreen itu bukan sahaja mengejutkan orang ramai tetapi turut menerima kritikan negatif dari peminat yang mempertikaikan tindakannya merampas suami orang biarpun sudah mengetahui bagaimana rasa peritnya.

Mereka juga kecewa dengan sikap serta tindakan Izreen yang sanggup berkahwin secara rahsia dengan Ude tanpa meminta izin isteri pertama lelaki tersebut.

Apapun, mungkin ini bahagian Izreen sebagai wanita. Kita sepatutnya mendoakan yang baik-baik saja bukan melemparkan kata-kata negatif.










www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Izreen Azminda IG


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: