18 February 2018
IBU ELFIRA DEDAH SUDAH PUTUS - SUFIAN PERCAYA MASIH TUNANGAN
"Tiada apa yang perlu saya huraikan lagi kerana sudah tertulis jodoh mereka tidak panjang. Insya-Allah dalam masa terdekat, bapa Elfira akan menemui keluarga Sufian untuk menyelesaikan urusan itu mengikut adat.
"Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, tetapi Allah menentukan segala-galanya. Setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anaknya, termasuk dalam hal membabitkan jodoh.
"Saya cuma berharap anak saya dipertemukan dengan lelaki yang jujur, beriman dan tahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin keluarga.
"Ini kerana rezeki tidak datang bergolek jika tidak berusaha," kata ibu kepada pelakon Elfira Loy, Filzah Yusoff, 52, yang mengesahkan hubungan anaknya dengan penyanyi Sufian Suhaimi sudah putus.
Klik untuk gambar besar
Ibu Elfira (kiri) mengesahkan pertunangan anaknya sudah berakhir
Dengan perjelasan dari Ibu Elfira itu maka terjawablah spekulasi mengenai status ikatan pertunangan Elfira dan Sufian.
Memaklumkan ikatan pertunangan pasangan selebriti itu baru sahaja terlerai, Filzah sebagai ibu percaya, setiap yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.
Untuk makluman, Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober tahun lalu dan mengikut perancangan awal, pasangan itu bakal disatukan awal bulan Mac.
Spekulasi status pertunangan pasangan itu mula diperkatakan sejak Disember lalu apabila mereka tidak lagi memuatnaik gambar bersama di laman sosial.
Sementara itu, penyanyi yang popular menerusi lagu 'Terakhir' itu tetap berpegang kepada prinsip pertunangannya dengan Elfira masih belum berakhir selagi cincin yang diberikan masih bersama pelakon itu.
Sufian menerusi pengurusnya, Mahadhir Mohamad memberitahu hubungannya tidak mempunyai sebarang masalah kecuali ada campur tangan pihak ketiga.
"Dia berpegang kepada prinsip selagi cincin masih bersama Elfira mereka masih bertunang. Katanya dia dengan Elfira tiada masalah kecuali ada pihak ketiga," ujarnya.
Dalam pada itu, Mahadhir berkata, Sufian akan tampil memberikan kenyataan berhubung isu tersebut menerusi Instagramnya apabila tiba waktunya.
Malah Sufian akan menjawab mengenai dakwaan kononnya ibu Elfira terasa hati dengan Sufian yang didakwa mengeluarkan kenyataan di InstaStory mengatakan wanita itu adalah orang ketiga dalam perhubungan mereka.
"Itu nanti Sufian jawab sendiri di Instagram. Dia akan buat kenyataan bila sampai masanya," jelasnya lagi.
Nampaknya rumit juga hubungan Elfira dan Sufian ini, apalagi dengan kenyataan baru dikeluarkan Sufian, seolah ibu Elfira menghalang hubungan mereka. Apapun, harapnya mereka dapat menyelesaikan masalah ini dengan cara baik.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment